Jumaat, 25 Januari 2019 | 9:01am

Qatar minat jadi rakan strategik kereta nasional ke-3

KUALA LUMPUR: Qatar mungkin menjadi rakan strategik Malaysia dalam pembangunan kereta nasional ketiga, kata Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI).

Ia susulan minat yang dinyatakan negara Asia Barat itu terhadap idea pembangunan kereta nasional ketiga yang diilhamkan oleh Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, dan seterusnya bersedia untuk mengadakan perbincangan lebih terperinci mengenainya.

MITI berkata, selain projek kereta nasional ketiga, Malaysia juga terbuka jika Qatar ingin melabur dalam sektor automotif negara yang lain seperti komponen automotif atau penghasilan kereta elektrik.

“Kunjungan Emir Qatar, Sheikh Tamim Hamad Al-Thani yang bertemu Dr Mahathir baru-baru ini membuka peluang kepada MITI untuk mengadakan pertemuan bagi membincangkan potensi pelaburan di antara kedua-dua negara.

“Perkara itu diteruskan lagi dengan pertemuan Menteri MITI, Datuk Darell Leiking dengan Menteri Perdagangan dan Industri Qatar, Ali Ahmed Al Kuwari serta Ketua Pegawai Eksekutif Qatar Investment Authority, Mansoor Ebrahim al-Mahmoud di Davos, Switzerland pada 22 Januari lalu.

“Objektif utama pertemuan antara Darell dan rakan sejawatnya itu berkenaan peluang pelaburan Qatar dalam projek kereta nasional ketiga,” katanya dalam satu kenyataan semalam.

MITI berkata, Malaysia juga ingin memanfaatkan pelaburan Qatar dalam firma automotif global Volkswagen dan Audi.

Selain itu, katanya, Qatar juga turut terbuka dengan pelaburan syarikat Malaysia di sana dan berharap lebih banyak syarikat Malaysia dapat menjalankan pelaburan dengan negara itu.

“Qatar juga sudah melonggarkan pemilikan pelaburan asing yang ketika ini kerajaan Qatar membenarkan syarikat asing memiliki kepentingan sehingga 100 peratus dalam pelbagai sektor.

“Qatar dilihat sebagai pintu masuk ke pasaran Asia Barat dan Malaysia pula sebagai batu loncatan ke pasaran ASEAN.

“Mesyuarat Jawatankuasa Perdagangan Bersama Malaysia-Qatar kali kedua turut dijadualkan diadakan pada 28 hingga 29 Mac ini.

“Malaysia juga berkemungkinan akan mencadangkan Qatar sebagai rakan dialog di ASEAN,” katanya.

Qatar dilaporkan mempunyai dana sebanyak AS$400 bilion (RM1.6 trilion) yang akan digunakan untuk tujuan pelaburan di seluruh dunia dalam pelbagai bidang.

Kumpulan Industri-Kerajaan bagi Teknologi Tinggi (MIGHT) baru-baru ini menyatakan syarikat yang bakal menerajui projek pengeluaran kereta nasional ketiga dijangka dipilih pada mesyuarat Majlis Pembangunan Negara Isnin ini.

Mesyuarat yang akan dipengerusikan Dr Mahathir itu juga dijangka memuktamadkan pemilihan senarai rangkaian vendor tempatan, yang akan menyokong operasi pengeluaran projek.

MIGHT berkata, projek kereta nasional ketiga boleh dijalankan tanpa dana daripada kerajaan kerana syarikat peneraju bakal mewujudkan konsortium dengan pelabur swasta lain dan berupaya mengurangkan risiko perniagaan.

Projek kereta nasional ketiga akan melebarkan jaringan sistem automotif, menerusi kesalinghubungan dengan maklumat pembangunan, supaya teknologi dan reka bentuk futuristik kenderaan ini menyuntik kelainan yang ketara, berbanding model sedia ada.

Idea berhubung projek kereta nasional ketiga dicetuskan Dr Mahathir pada Jun tahun lalu, sebulan selepas menjadi Perdana Menteri buat kali kedua.

Beliau mahu projek kereta nasional ketiga menjadi pemangkin yang menyemarakkan keupayaan teknologi, kejuruteraan dan perindustrian Malaysia.

Projek kereta nasional ketiga juga disasarkan dapat menembusi pasaran ASEAN dan menempatkan sebuah syarikat automotif Malaysia di persada dunia.

Berita Harian X