Khamis, 24 Januari 2019 | 4:45pm
Setiausaha Perancangan Ekonomi, Manila Ernesto Pernia. - Foto Toto Lozano
Setiausaha Perancangan Ekonomi, Manila Ernesto Pernia. - Foto Toto Lozano

Ekonomi Filipina paling perlahan dalam 3 tahun

MANILA: Pertumbuhan ekonomi Filipina susut ke paras terendah dalam tempoh tiga tahun pada 2018 walaupun ia meningkat pada suku keempat, memberikan bank pusatnya sebab untuk meneruskan kenaikan kadar faedah.

Negara Asia Tenggara itu mencatatkan pertumbuhan tahun penuh sebanyak 6.2 peratus, tidak melepasi sasaran semakan menurun kerajaannya iaitu antara 6.5 hingga 6.9 peratus.

Bagaimanapun, kadar berkenaan masih menjadi antara yang terpantas di Asia.

Pertumbuhan tahunan pada Oktober hingga Disember adalah sebanyak 6.1 peratus berbanding semakan suku sebelumnya iaitu 6.0 peratus.

Kadar yang dicatatkan itu adalah sedikit lemah berbanding yang diunjurkan dalam tinjauan Reuters iaitu 6.2 peratus.

Sebagai perbandingan, ekonomi negara berkenaan berkembang 6.5 peratus dalam tempoh tiga bulan terakhir pada 2017.

Dengan jangkaan bahawa inflasi akan berkurangan lebih lanjut tahun ini dan seterusnya membantu menurunkan harga minyak global, kerajaan Filipina yakin bahawa ekonominya akan kembali pulih pada suku akan datang.

Sasaran pertumbuhan yang ditetapkan adalah pada tujuh hingga lapan peratus.

Bagaimanapun, Capital Economics menyifatkan peluang untuk lonjakan mapan dalam pertumbuhan pada 2019 adalah tipis, sebahagiannya disebabkan oleh perbelanjaan prasarana kerajaan yang dijangka berlaku pada kadar yang perlahan.

Setiausaha Perancangan Ekonomi, Ernesto Pernia, berkata penggunaan isi rumah sepatutnya pulih tahun ini kerana tekanan inflasi yang berkurangan di tengah-tengah unjuran harga minyak antarabangsa yang merosot dan pengurangan harga runcit tempatan bagi beras.

Bagaimanapun, beliau meluahkan kebimbangan mengenai impak pertikaian dagangan antara Amerika Syarikat (AS) dan China ke atas ekonomi global.

“Kami akan terus berhati-hati bagi risiko kelembapan seperti pertikaian dagangan AS-China yang melemahkan permintaan global dengan cukai yang lebih tinggi,” katanya pada satu sidang media.

Pada Disember, bank pusat Filipina mengekalkan kadar faedah utama tidak berubah untuk membenarkan lima kenaikan berturut-turut, dengan jumlah keseluruhan 175 mata asas, dan ia berhasil dalam merangsang ekonomi negara itu.

Beberapa penganalisis percaya ia menandakan pengakhiran kitaran ketat kewangan. - Reuters

Kabinet Malaysia 2020

Berita Harian X