Selasa, 15 Januari 2019 | 5:50pm
Ketua Eksekutif Pihak Berkuasa Wilayah Pembangunan Iskandar (IRDA), Datuk Ismail Ibrahim.
Ketua Eksekutif Pihak Berkuasa Wilayah Pembangunan Iskandar (IRDA), Datuk Ismail Ibrahim.

Iskandar Malaysia raih pelaburan RM32.23 bilion

JOHOR BAHRU: Wilayah pembangunan Iskandar Malaysia menarik pelaburan komited bernilai RM32.23 bilion sepanjang tahun lalu, kata Ketua Eksekutif Pihak Berkuasa Wilayah Pembangunan Iskandar (IRDA), Datuk Ismail Ibrahim.

Beliau berkata, pelaburan baharu itu menjadikan Iskandar Malaysia mencatatkan sebanyak RM285.34 bilion keseluruhan pelaburan komited dalam tempoh tahun 2006 hingga akhir tahun 2018.

Katanya, bagi tahun ini, pihaknya yakin dapat merealisasikan sasaran pelaburan komited sebanyak RM30 bilion untuk Iskandar Malaysia, meskipun persekitaran ekonomi yang mencabar.

"Daripada jumlah pelaburan komited terkumpul setakat ini, pelabur tempatan menyumbang sebanyak RM177 bilion atau 62 peratus daripada nilai keseluruhan, manakala baki RM108 bilion (38 peratus) disumbang oleh pelabur asing," katanya berucap dalam sambutan Ulang Tahun Pertama IskandarSpace, di sini, hari ini.

Majlis itu disempurnakan oleh Pengerusi Jawatankuasa Perdagangan Antarabangsa, Pelaburan dan Utiliti Johor, Jimmy Puah Wee Tse.

Hadir sama ialah Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Iskandar Investment Bhd (IIB), Datuk Khairil Anwar Ahmad.

Ismail berkata, enam sektor perkhidmatan iaitu pelancongan, pendidikan, kewangan, kesihatan, kreatif dan logistik merekodkan pertumbuhan 16 peratus dalam tempoh tahun 2017 hingga 2018.

Katanya, sepanjang tahun lalu saja, pelancongan mencatatkan pelaburan sebanyak RM1.94 bilion, diikuti pendidikan sebanyak RM940 juta.

“Dengan jumlah dua sektor yang direkodkan itu mampu dan boleh menarik minat ahli perniagaan untuk memulakan perniagaan mereka di Iskandar Malaysia.” katanya.

Ismail berkata, sejak 2006, pembangunan Iskandar Malaysia sentiasa dipandu arah oleh Rancangan Pembangunan Komprehensif (CDP) dan program lestari yang menjadi prinsip pembangunan dengan memberi perhatian seimbang kepada tiga bidang ekonomi yang saling berkaitan, keterangkuman sosial dan persekitaran dalam pembangunannya.

Berita Harian X