Isnin, 14 Januari 2019 | 1:57pm
NIK Mohd Fareez Nik Ahmad Azman ketika sidang media selepas Majlis Pelancaran ACGas Astana City Group Sdn. Bhd di Kuala Lumpur. - NSTP/Eizairi Shamsudin
NIK Mohd Fareez Nik Ahmad Azman ketika sidang media selepas Majlis Pelancaran ACGas Astana City Group Sdn. Bhd di Kuala Lumpur. - NSTP/Eizairi Shamsudin

ACG cadang kereta nasional ketiga guna LPG

KUALA LUMPUR: Astana City Group Sdn Bhd (ACG) berminat untuk terbabit dalam pembuatan projek kereta nasional ketiga yang akan dikuasakan menggunakan gas petroleum cecair (LPG) sepenuhnya, menggantikan petrol sebagai bahan api.

Pembabitan syarikat yang diberikan kelulusan oleh kerajaan untuk memasarkan silinder komposit LPG bagi pasaran Malaysia itu boleh direalisasikan dengan rakan niaganya, Hyundai BS&E dari Korea Selatan dan PAP Econ Co Ltd dari Thailand.

Pengarah Urusan Astana City Group, Nik Mohd Fareez Nik Ahmad Azman, berkata kertas cadangan mengenai projek kereta nasional ketiga itu telah diserahkan kepada Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri tahun lalu oleh rakan niaganya, PAP Econ.

Katanya, cadangan yang dikemukakan oleh pihaknya adalah teknologi kereta yang menggunakan LPG sebagai bahan api sepenuhnya.

"Jika kita lihat di Jepun sebagai contoh, kerajaan mereka telah mewajibkan semua teksi di sana menggunakan LPG. Ini kerana, bahan api ini adalah lebih menjimatkan dan kurang mencemarkan alam sekitar.

"LPG mampu mengurangkan sehingga 20 peratus pelepasan karbon berbanding petrol. Apa yang cuba kita bawa ke Malaysia ialah untuk meniru semula model yang telah terbukti berjaya di Jepun dan Korea Selatan untuk penggunaan kereta LPG," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas majlis pelancaran produk silinder komposit LPG 14 kilogram (kg) ACGas di sini, hari ini.

Pelancaran disempurnakan oleh Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.

Hadir sama ialah Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Rina Mohamad Harun dan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Seri Saifuddin Nasution.

Prototaip kereta nasional ketiga yang sebahagian besar pelaburannya adalah daripada vendor dijangka dilancarkan pada suku pertama 2019.

Mengulas lanjut, Nik Mohd Fareez berkata rancangan jangka panjang syarikat itu berkaitan kereta nasional ketiga ialah membina stesen LPG di seluruh daerah di Malaysia, sekali gus menjana peluang ekonomi baharu untuk penduduk setempat.

Katanya, syarikat telah menghantar permohonan pembinaan stesen LPG kepada kerajaan pada Oktober tahun lalu dan kini sedang menunggu maklum balas.

"Jika kerajaan bersetuju dengan permohonan kami, syarikat bercadang untuk bekerjasama dengan MARA dan PETRONAS dari segi penyediaan tenaga kerja dan pembukaan stesen LPG," katanya.

Ditanya mengenai sasaran jualan produk silinder komposit LPG keluaran syarikat itu, Nik Mohd Fareez, berkata ia menyasarkan jualan sebanyak tiga juta tong setahun yang bersamaan dengan tiga peratus penguasaan pasaran di Malaysia.

Syarikat itu juga merancang untuk melabur RM100 juta bagi membina kilang membuat silinder gas komposit di Pelabuhan Klang.

Fasa pertama kilang berkenaan akan mempunyai kapasiti untuk menghasilkan 200,000 silinder sebulan bagi memenuhi permintaan pasaran di Malaysia dan rantau Asia Tenggara.

Silinder komposit LPG 14 kg yang dikeluarkan ACGas dijual pada harga RM155 setong termasuk gas.

Kelebihan produk itu berbanding silinder gas sedia ada ialah lebih ringan, tidak mudah meletup, tahan karat dan mempunyai bacaan isipadu gas.

Berita Harian X