Jumaat, 4 Januari 2019 | 3:13pm
Eksport Malaysia pada November 2018 meningkat kepada RM84.8 bilion.
Eksport Malaysia pada November 2018 meningkat kepada RM84.8 bilion.

Eksport November meningkat 1.6 peratus

KUALA LUMPUR: Eksport Malaysia pada November 2018 meningkat RM1.3 bilion atau 1.6 peratus kepada RM84.8 bilion berbanding RM83.5 bilion yang dicatatkan pada bulan sama 2017, demikian menurut Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI).

MITI dalam laporan Perangkaan Perdagangan Luar Malaysia, berkata eksport semula pada November 2018 bernilai RM15.9 bilion, mencatatkan peningkatan 24.5 peratus secara tahun ke tahun dan menyumbang 18.7 peratus daripada jumlah eksport.

Katanya, eksport domestik menurun 2.6 peratus atau RM1.8 bilion kepada RM68.9 bilion, manakala import meningkat RM3.7 bilion atau lima peratus kepada RM77.2 bilion.

“Pertumbuhan eksport disokong oleh peningkatan eksport ke Taiwan, Vietnam, Hong Kong, Singapura dan China manakala kenaikan import adalah dari Kesatuan Eropah (EU), Arab Saudi, Korea Selatan, Russia dan Taiwan.

“Jumlah dagangan bernilai RM162 bilion, meningkat 3.2 peratus atau RM5 bilion berbanding tempoh sama 2017. Lebihan dagangan adalah RM7.6 bilion, menyusut RM2.4 bilion atau 24 peratus daripada November 2017,” katanya.

Eksport pada November 2018 disumbangkan terutama dari barangan perkilangan bernilai RM70.35 bilion, merangkumi 83 peratus daripada jumlah eksport, meningkat 2.2 peratus daripada jumlah pada November 2017.

Peningkatan itu disokong terutama oleh kenaikan eksport keluaran petroleum, kimia dan bahan kimia, barangan optik dan saintifik serta barangan besi dan keluli yang mengimbangi penurunan eksport barangan elektrik dan elektronik (E&E).

MITI berkata, barangan E&E menyusut sebanyak RM528.2 juta atau 1.7 peratus, menurun buat pertama kali sejak Mac 2018.

“Eksport hasil galian meningkat 16.1 peratus kepada RM8.33 bilion, menyumbang 9.8 peratus daripada jumlah eksport pada November 2018.

“Eksport keluaran pertanian yang merangkumi 6.6 peratus daripada jumlah eksport menyusut 17.6 peratus kepada RM5.56 bilion, disebabkan pengurangan eksport minyak sawit dan keluaran pertanian berasaskan minyak sawit,” katanya.

Mengulas lanjut, katanya, pertumbuhan eksport ke ASEAN kekal positif apabila meningkat empat peratus kepada RM45.84 bilion, merangkumi 28.3 peratus daripada jumlah perdagangan Malaysia.

“Eksport berkembang 6.4 peratus kepada RM26.17 bilion, disumbang oleh kenaikan eksport petroleum mentah, barangan E&E dan keluaran petroleum. Ketiga-tiga barangan ini menyumbang 56.1 peratus kepada jumlah eksport Malaysia ke ASEAN.

“Perdagangan dengan China yang merangkumi 16.4 peratus daripada jumlah perdagangan negara turun 0.2 peratus berbanding tempoh sama tahun sebelumnya, namun, eksport ke negara itu meningkat 3.9 peratus kepada RM11.65 bilion, berikutan peningkatan eksport kimia dan baham kimia, keluaran petroleum serta LNG,” katanya.

Berita Harian X