Selasa, 1 Januari 2019 | 2:45pm

Harga minyak dunia lesu akhiri 2018

HOUSTON: Harga minyak mengakhiri dagangan pada 2018 dengan kerugian setahun penuh buat pertama kalinya sejak 2015 selepas prestasi menyedihkan dicatatkan pada suku keempat.

Suku berkenaan menyaksikan pembeli menjauhkan diri dari pasaran berikutan kebimbangan terhadap kemelut bekalan dan petunjuk bercampur-campur berhubung pembaharuan sekatan Amerika Syarikat (AS) ke atas Iran.

Bagi tahun 2018, niaga hadapan AS West Texas Intermediate (WTI) susut hampir 25 peratus manakala Brent susut lebih daripada 19.5 peratus.

Pasaran berada dalam landasan untuk mengaut keuntungan bagi 2018 sehinggalah pada Oktober lalu AS memberi pelepasan yang lebih besar daripada jangkaan kepada pengimport minyak Iran.

Selain itu, permintaan di ekonomi baru muncul juga mula berkurangan. Gabungan kedua-dua faktor berkenaan menurunkan kedua-dua penanda aras minyak mentah itu daripada paras tertinggi dalam tempoh empat tahun melebihi AS$76 setong dan AS$86 setong, masing-masing.

Malah, keputusan Pertubuhan Negara Pengeksport Petroleum (OPEC) dengan sekutunya termasuk Rusia untuk mengurangkan hasil juga tidak cukup untuk mengembalikan sentimen meyakinkan.

“Pasaran menjunam dengan minyak,” kata Ahli Strategi Pasaran Kanan di RJO Futures, Phillip Streible.

“Pertubuhan Negara Pengeksport Petroleum (OPEC) memutuskan untuk mengurangkan hasil tetapi pasaran tidak memberikan reaksi yang baik terhadap langkah berkenaan. Harga minyak susut lebih daripada satu pertiga pada suku keempat, kejatuhan suku tahun paling mendadak sejak suku keempat 2014.

“Brent ditutup pada 59 cents atau 1.1 peratus pada AS$53.80 setong, manakala WTI ditutup lapan cents lebih tinggi pada AS$45.41 setong. Menurut tinjauan Reuters, penganalisis meramalkan sentimen yang lemah pada 2019.”

Seramai 32 ahli ekonomi dan penganalisis dalam satu tinjauan mengunjurkan purata harga Brent adalah sekitar AS$69.13 tahun ini, lebih rendah AS$5 daripada unjuran penganalisis sebulan lalu dan berbanding purata harga sebenar AS$71.76 pada 2018.

Brent yang juga penanda aras global meningkat hampir satu pertiga antara Januari dan Oktober ke paras tertinggi AS$86.74.

Itu adalah paras tertinggi sejak lewat 2014 yang juga menjadi permulaan kejatuhan pasaran di tengah-tengah kemelut lebihan dalam pasaran global.

Harga minyak meningkat untuk kebanyakan tempoh sepanjang tahun dan meneruskan pemulihan pada 2017 selepas beberapa tahun dilanda kejatuhan harga yang menyaksikan banyak syarikat tenaga di AS diisytihar muflis.

Pembaharuan sekatan AS ke atas pengeluar utama, Iran serta keadaan ekonomi yang sihat dan kebimbangan mengenai bekalan minyak mentah telah melonjakkan harga minnyak sehingga Oktober lalu.

Bagaimanapun, langkah Washington memberikan pelepasan besar ke atas pembeli minyak Iran telah mencetuskan kebimbangan mengenai lebihan bekalan global dan juga pertumbuhan ekonomi yang lembap menyelubungi pasaran.

Presiden Lipow Oil Associates di Houston, AS, Andy Lipow berkata OPEC dan pengeluar bukan OPEC mendapati mereka bersaing dengan bekalan tambahan daripada AS yang mengejutkan pasaran.

OPEC membuka paipnya pada musim luruh berikutan permintaan mengurangkan inventori global dan kemudiannya berpatah semula kerana harga minyak terus susut.

Kumpulan pengeluar itu kini merancang untuk mengurangkan 1.2 juta tong minyak sehari.

-Reuters

Berita Harian X