Jumaat, 28 Disember 2018 | 2:18pm
Kebimbangan geopolitik yang berterusan, serta isu permintaan global dan lebihan bekalan terus membayangi industri minyak dan gas pada 2018. - Foto hiasan
Kebimbangan geopolitik yang berterusan, serta isu permintaan global dan lebihan bekalan terus membayangi industri minyak dan gas pada 2018. - Foto hiasan

Ketidaktentuan geopolitik pengaruhi harga minyak 2018

KUALA LUMPUR: Kebimbangan geopolitik yang berterusan, serta isu permintaan global dan lebihan bekalan terus membayangi industri minyak dan gas pada 2018, dengan minyak mentah Brent, penanda aras antarabangsa bagi harga minyak mentah secara puratanya berada di atas paras AS$70 setong berbanding AS$54.22 tahun lalu.

Harga minyak mentah pada umumnya tinggi sepanjang 2018, berikutan kebimbangan bekalan telah mempengaruhi pergerakan harga ditambah dengan risiko geopolitik dengan perkembangan di Iran, Venezuela dan Asia Barat.

Pengarah Urusan Moody's Investors Service Corporate Finance Group Steve Wood berkata minyak mentah Brent berada pada purata AS$72 setong setakat ini, dengan West Texas Intermediate (WTI) pada AS$66.

“Perbezaan (kedua-dua penanda aras) itu berada pada purata AS$6, tetapi berlegar sekitar AS$10 untuk sebahagian besar tahun ini.

“Perbezaan tinggi itu mencerminkan kekangan prasarana di Amerika Utara, terutama di Permian Basin di Texas dan di Kanada,” katanya kepada Bernama dalam satu temu bual menerusi emel.

Bagaimanapun, Pentadbiran Maklumat Tenaga (EIA) menjangka penggunaan minyak meningkat 1.5 juta tong setiap hari (bpd) tahun ini, yang mana ia adalah wajar, jelasnya.

Secara keseluruhannya, Wood berkata industri terus pulih daripada kejatuhan harga minyak pada tahun 2015-2016 apabila harga lebih tinggi berbanding yang dijangkakan pasaran pada awal tahun ini, justeru, meningkatkan lagi keyakinan dalam kalangan syarikat dan pelabur.

Bagaimanapun, harga masih kekal tidak menentu apabila Brent berada dalam jajaran antara AS$58 dan AS$86 setong.

Pasaran ekuiti juga memberi tekanan kepada syarikat huluan untuk melaksanakan disiplin modal yang lebih ketat bagi menjana aliran tunai bebas dan memulangkan wang kepada pemegang saham.

“Sektor perkhidmatan lapangan minyak tidak pulih sepantas seperti pemulihan sebelum-sebelum ini dan industri ini masih lagi agak lemah.

“Terdapat peningkatan penstabilan dan penyederhanaan dalam struktur korporat syarikat pertengahan Amerika Syarikat (AS),” katanya.

Sementara itu, minyak mentah Brent mencecah paras AS$80 setong pada 17 Mei, paras tertinggi sejak November 2014, berikutan kebimbangan penurunan eksport Iran susulan ancaman sekatan apabila Presiden AS Donald Trump memutuskan untuk menarik diri daripada perjanjian nuklear antarabangsa dengan Tehran.

Agensi Tenaga Antarabangsa (IEA) dalam laporannya yang diterbitkan pada Ogos mendedahkan bahawa rancangan AS untuk mengenakan sekatan minyak mentah ke atas Iran boleh membawa kesan kepada bekalan global dan menjejaskan kapasiti minyak gantian dunia.

Iran, anggota Pertubuhan Negara-Negara Pengeksport Petroleum (OPEC), menghasilkan kira-kira empat peratus daripada bekalan minyak global atau kira-kira 2.4 juta bpd.

“Persoalan utama dengan sekatan itu adalah sejauh mana keberkesanan pelaksanaan dan penguatkuasaannya.

“Meskipun sekatan itu dilaksanakan seperti yang dirancang, pentadbiran Trump memberikan pengecualian sementara kepada lapan negara.

“Kesan sekatan itu ke atas pasaran minyak akan bergantung kepada apakah yang akan berlaku apabila pengecualian ini berakhir,” kata Wood.

AS berikrar untuk menghentikan semua pembelian minyak mentah dari Iran di seluruh dunia, tetapi buat masa sekarang ia berkata lapan negara, iaitu China, India, Korea Selatan, Jepun, Itali, Greece, Taiwan dan Turki boleh terus mengimport tanpa penalti.

Sementara itu, Ketua Ekonomi Bank Islam Malaysia Bhd Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata pasaran menyaksikan keputusan memberangsangkan daripada syarikat minyak nasional, PETRONAS, dengan hasil dan keuntungan sebelum cukai meningkat 19 peratus dan 26 peratus masing-masing kepada RM63.9 bilion dan RM18.9 bilion, dalam suku ketiga 2018.

Ini telah memberi manfaat kepada syarikat tempatan, terutamanya yang mempunyai operasi dalam sektor huluan, kerana Petronas dijangka meningkatkan perbelanjaan modalnya, walaupun dilakukan dengan sangat berhati-hati.

Dalam Prospek Aktiviti PETRONAS bagi 2019 hingga 2021 yang dikeluarkan baru-baru ini, syarikat minyak nasional itu menaikkan andaian harga minyaknya bagi asas perancangan kepada antara AS$60 dan AS$70 setong bagi 2019.

"Jadi keseluruhannya, 2018 adalah tahun yang baik bagi industri minyak dan gas,” kata Mohd Afzanizam.

Pasaran minyak berada dalam tekanan pada Oktober, seiring dengan pasaran saham, apabila ketegangan perdagangan dan kebimbangan akan kenaikan kadar faedah telah mempengaruhi prestasinya.

Harga minyak jatuh ke paras terendahnya dalam tempoh setahun pada 12 November, menyebabkan pasaran itu menjadi lemah apabila peningkatan penawaran dijangka mengatasi permintaan tahun depan, dengan minyak mentah Brent mencecah paras AS$65.84 setong.

Penurunan itu dicatatkan selepas Trump menggesa OPEC dan Arab Saudi mengekalkan dasar semasa mereka meningkatkan pengeluaran secara perlahan-lahan, yang membantu mengehadkan harga minyak.

Beliau berkata aliran harga minyak mentah rendah yang disebabkan lebihan pengeluaran telah meningkatkan jumlah risiko kepada kewangan kerajaan Malaysia ekoran sifat kitaran harga minyak.

“Dinamik sedemikian sukar untuk diambil kira dengan ketepatan yang tinggi.

“Oleh itu, perkara yang paling wajar dilakukan adalah untuk merangka pelan jelas bagi pempelbagaian dalam sumber hasil dan pada masa yang sama, mengoptimumkan pelan perbelanjaan, agar tidak akan ada sebarang pembaziran dan ketirisan,” katanya.

Pada 20 Disember, harga minyak jatuh ke paras terendah dalam tempoh lebih daripada setahun dengan minyak mentah Brent susut lima peratus kepada AS$54.40 setong manakala penanda aras Amerika Syarikat WTI turun kepada AS$45.88 setong, paras terendah dalam tempoh 17 bulan.

Dua hari kemudiannya, harga minyak jatuh ke paras terendahnya sejak suku ketiga 2017, mencatatkan penurunan lebih daripada 11 peratus dalam masa seminggu, apabila lebihan bekalan global menghalang pembeli daripada memasuki pasaran menjelang musim perayaan dan cuti tahun baru.

Minyak mentah Brent turun 53 cents atau hampir satu peratus untuk ditutup kepada AS$53.82 setong, selepas jatuh semasa sesi itu kepada US$52.79 setong, paras terendahnya sejak September 2017.

Penurunan harga minyak adalah disebabkan oleh kenaikan kadar faedah oleh Rizab Persekutuan AS sebanyak suku mata, mencetuskan kebimbangan akan permintaan perlahan global, apabila petunjuk amaran ekonomi telah menyebabkan pasaran di seluruh dunia terasa bahangnya.

Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) memberi amaran akan kemungkinan berlakunya krisis kewangan global seterusnya meskipun sistem kewangan dunia masih belum bersedia untuk berdepan satu lagi kegawatan.

Penurunan harga minyak jelas memberi kesan yang negatif bagi Malaysia dan juga rantau ini.

Sebagai pengeksport minyak bersih, penurunan harga minyak bermakna kuantiti eksport dalam nilai dolar AS akan berkurangan sejajar dengan jangkaan kelemahan ekonomi global serta pesanan eksport dari banyak negara.

Menteri Kewangan, Lim Guan Eng berkata kerajaan hanya akan melakukan pengubahsuaian Belanjawan 2019 sekiranya harga minyak mentah jatuh di bawah AS$50 setong. Kementerian Kewangan menyediakan belanjawan tahun depan berdasarkan kepada harga minyak mentah AS$70 setong.

Meskipun semua cabaran itu, industri minyak dan gas Malaysia tidak menunjukkan tanda perlahan dalam aktiviti pengambilan pekerja dalam taliannya kerana sektor itu merekodkan pertumbuhan tahun ke tahun 19 bulan berturut-turut, naik 13 peratus pada Oktober, mengikut data terbaharu daripada Monster Employment Index (MEI).

Bagi asas enam bulan, sektor itu mencatatkan pertumbuhan positif 8.0 peratus.

Perang perdagangan yang berlarutan akan memberi kesan negatif kepada pertumbuhan global dan seterusnya menjejaskan permintaan, namun aktiviti minyak dan gas Asia terus kukuh dan berkembang, membayangkan pasaran global akan kekal stabil menuju ke 2019.

Semasa mesyuarat pada Disember, pengeluar-pengeluar minyak utama dunia memutuskan untuk melanjutkan pengurangan pengeluaran hingga ke akhir 2018, dalam usaha untuk membendung lebihan minyak mentah dunia dan mengekalkan peningkatan harga.

OPEC dan sekutu-sekutu minyaknya memperkenalkan pengurangan pengeluaran baharu pada mesyuarat tersebut sebanyak 1.2 juta tong bpd bagi tempoh enam bulan pertama 2019.

Kartel minyak dan pengeluar utama lain, termasuk Rusia, bersetuju langkah pengurangan yang bermula pada Januari dan berjaya meningkatkan harga minyak mentah Brent daripada AS$40 setong kepada AS$50 setong tahun lalu kepada lebih daripada US$60 setong sekarang, akan diteruskan bagi tempoh sembilan bulan lagi.

Kartel OPEC dengan 15 anggota bersetuju mengurangkan pengeluarannya sebanyak 800,000 bpd, manakala Rusia dan pengeluar sekutunya akan menyumbang pengeluaran 400,000 bpd.

Perjanjian itu sejajar dengan jangkaan sekutu-sekutu untuk memperlahankan pengeluaran sebanyak 1.0 juta kepada 1.4 juta bpd.

"OPEC dan Arab Saudi terutamanya, terus membawa kesan besar kepada harga minyak berikutan keupayaan mereka untuk menyelaraskan tahap pengeluaran mereka.

"Bagaimanapun, dalam tempoh beberapa tahun kebelakangan ini, pengaruh Rusia telah meningkat. Syarikat minyak AS juga semakin berkembang dengan pengaruh yang semakin meningkat ke atas bekalan minyak global,” kata Wood.

Bersama-sama, OPEC dan Rusia menghasilkan lebih daripada 40 peratus minyak dunia.

Dalam laporan World Oil Outlook 2018 yang dilancarkan pada September, OPEC menganggarkan bahagian pasaran minyak mentahnya dalam bekalan minyak dunia meningkat kepada 36 peratus pada 2040 daripada 34 peratus pada 2017, kerana minyak dijangka kekal menjadi bahan api dengan bahagian terbesar dalam campuran tenaga sepanjang tempoh unjuran hingga 2040.

Mohd Afzanizam pula mempunyai pandangan berbeza dengan menyatakan ketidakseimbangan penawaran-permintaan masih jelas kelihatan, dinilai daripada data pasaran terkini.

“Kami percaya keseimbangan risiko kepada pertumbuhan global cenderung menurun.

“Kenaikan kadar faedah AS akan menjejaskan pertumbuhan negara itu kerana terdapat jeda masa bagi tindak balas dasar monetari untuk membawa kesan bermakna kepada ekonomi.

“Pergeseran perdagangan antara AS dan China boleh menjejaskan pertumbuhan perdagangan global, sentimen perniagaan dan kecekapan. Jadi, semua ini boleh membawa kesan kepada sentimen pasaran dan secara tidak langsung juga kepada pasaran minyak mentah,” katanya.

-BERNAMA

Berita Harian X