Jumaat, 28 Disember 2018 | 12:04pm

Harga minyak melonjak, tetapi lebihan bekalan kekal membimbangkan

SEOUL: Harga minyak melonjak sehingga tiga peratus hari ini, tetapi peningkatan stok minyak mentah Amerika Syarikat (AS) dan kebimbangan berterusan berhubung ekonomi global terus memberi tekanan kepada pasaran.

Minyak mentah Brent menokok AS$1.18, atau 2.26 peratus, pada AS$53.34 satu tong pada 0219 GMT, selepas mencecah sehingga 3.1 peratus. Ia susut 4.24 peratus, atau AS$2.31, kepada AS$52.16 satu tong, sebelumnya.

Niaga hadapan mentah West Texas Intermediate (WTI) berada pada AS$45.62 satu tong, naik 2.26 peratus, atau AS$1.01, selepas meningkat sehingga 3.6 peratus.

WTI ditutup susut 3.48 peratus, atau AS$1.61, kepada AS$44.61 satu tong, Khamis.

Harga minyak jatuh ke paras paling rendah dalam tempoh lebih setahun pada Khamis, sehari selepas menyaksikan rali harian terbesar dalam tempoh dua tahun, ditarik turun oleh kebimbangan berhubung keadaan ekonomi global dan lebihan dalam bekalan.

Ahn Yea-Ha, Penganalisis komoditi di Kiwoom Securities di Seoul, berkata kekhuatiran kelembapan ekonomi global memberi kesan kepada pergerakan pasaran saham, dan harga minyak tidak bebas daripada kebimbangan itu.

Inventori minyak mentah AS bagi minggu berakhir 21 Disember meningkat 6.9 juta tong kepada 448.2 juta tong, demikian menurut data yang dikeluarkan Institut Petroleum Amerika (API).

Agensi Maklumat Tenaga (EIA) AS akan mengeluarkan laporan rasminya lewat hari ini.

"Jika data EIA menunjukkan kenaikan dalam inventori minyak mentah AS, ia akan mengehadkan kenaikan harga," kata Ahn.

AS muncul pengeluar minyak mentah terbesar dunia, yang mengepam 11.6 juta tong sehari, lebih banyak berbanding Arab Saudi dan Russia. - Reuters

Berita Harian X