Khamis, 27 Disember 2018 | 10:24am

Pegawai AS ke China untuk menamatkan perang perdagangan

NEW YORK: Delegasi kerajaan Amerika Syarikat (AS) akan ke Beijing pada awal Januari untuk bersemuka buat pertama kalinya sejak Presiden Donald Trump dan rakan sejawatannya dari China bersetuju dengan gencatan senjata dalam perang tarif antara kedua-dua negara, kata Bloomberg News.

Timbalan Wakil Perdagangan AS Jeffrey Gerrish akan mengetuai pasukan AS pada 7 Januari depan, kata Bloomberg, sambil memetik dua orang yang hampir dengan perkara itu.

Terdapat tanda-tanda kecil bahawa rundingan itu akan membuahkan hasil berikutan ketiadaan ancaman baharu dari Trump, manakala kedua belah pihak dilihat berusaha keras untuk meredakan ketegangan perdagangan menjelang 1 Mac.

Washington dan Beijing saling mengenakan tarif ke atas dagangan masing-masing yang bernilai lebih AS$300 bilion, memerangkap mereka dalam konflik yang mula memberikan kesan ke atas keuntungan dan menyumbang kepada kejatuhan pasaran saham.

Trump memulakan perang perdagangan itu susulan aduan terhadap amalan perdagangan Cina yang tidak adil, kebimbangan yang dikongsi Kesatuan Eropah (EU), Jepun dan lain-lain.

Gencatan senjata bermula selepas Trump bertemu pemimpin China Xi Jinping pada sidang kemuncak G20 di Buenos Aires pada 1 Disember dan mereka bersetuju untuk menangguhkan kenaikan tarif lanjutan selama 90 hari.

Ahad lalu, kementerian perdagangan Beijing berkata China dan AS "membuat kemajuan baharu" berhubung isu keseimbangan perdagangan dan harta intelek dalam rundingan menerusi telefon antara pegawai dari kedua-dua negara.

Beijing pada 14 Disember mengumumkan bahawa bermula 1 Januari ia akan menangguhkan tarif tambahan ke atas kereta dan peralatan automotif AS.

China juga dilaporkan akan kembali membeli kacang soya daripada petani AS selain memudahkan peraturan pelaburan untuk syarikat AS. - AFP

Berita Harian X