Isnin, 24 Disember 2018 | 10:39am

Industri Maritim Meluncur Perlahan Pada 2018

KUALA LUMPUR: Industri maritim meluncur perlahan pada 2018, berlayar pada kelajuan rendah berikutan faktor dalaman dan luaran sambil melihat 2019 mempunyai prospek cerah, kerana ia menawarkan lebih banyak harapan untuk melaksanakan rancangan bagi memulihkan industri itu.

Lima bulan pertama tahun ini menyaksikan perniagaan berkaitan maritim, yang bersifat berintensifkan modal, lebih berhati-hati dalam membuat keputusan berkaitan rancangan infrastruktur dan pengembangan besar, memandangkan negara sedang sibuk bersiap untuk menghadapi pilihan raya umum ke-14.

Alasan di sebalik ini hanyalah disebabkan kemungkinan perubahan dalam dasar kerajaan yang menyebabkan ramai kemudiannya berasa lega kerana mereka tidak terus melompat berikutan perubahan rejim pemerintah.

Kerajaan baharu mengambil alih kuasa dan negara mengalu-alukan wajah baru dan segar, termasuk Anthony Loke Siew Fook, yang ditugaskan untuk menerajui Kementerian Pengangkutan.

Bagi aktiviti maritim, keadaan berjalan seperti biasa selepas pilihan raya.

Sehubungan itu, selamat untuk menyamakan kadar pertumbuhan industri itu kepada amalan “meluncur perlahan", yang sangat sensitif terhadap corak perdagangan global, peningkatan ketegangan China-AS, ketidakpastian dalam pasaran baru muncul dan dan pelbagai cabaran lain.

Meluncur perlahan merujuk kepada amalan mengendali kapal kargo rentas lautan, terutama kapal kontena, jauh lebih perlahan daripada kelajuan maksimum mereka.

Pertikaian perdagangan antara China dan Amerika Syarikat (AS) yang belum selesai memerlukan pemain industri maritim untuk memberi perhatian sama ada hasilnya nanti akan memberi manfaat atau sebaliknya.

Ramai pelabur dan pemain industri optimis terhadap kesan pertikaian AS-China, kerana ia "berpotensi mengubah corak barangan yang didagangkan dan membawa lebih banyak perniagaan ke bahagian dunia sebelah sini.

Bagaimanapun, pada masa sama, entiti perniagaan juga berhati-hati terhadap keputusan perniagaan mereka apabila landskap ekonomi global menjadi tidak menentu dan tidak stabil.

Sebagai rekod, Presiden Persatuan Perkapalan Singapura, Esben Poulsson pernah berkata, bahawa syarikat perkapalan kontena dalam industri kabotaj akan mencari jalan untuk mengelak daripada tarif perdagangan, sekatan import dan embargo perdagangan untuk mengekalkan perniagaan mereka.

Beliau mencadangkan agar pengeluar dan penggiat China dalam sektor maritim, boleh menggunakan Malaysia atau negara-negara lain di Asia Tenggara seperti Vietnam untuk menghasilkan barangan mereka di pasaran di dalam negara terbabit, menampal label yang berlainan dan mengeksport barangan mereka ke AS, jika mereka mendapati pengeksportan secara langsung terlalu mahal.

Mengambil Russia sebagai contoh, katanya, walaupun negara itu mengenakan pelbagai sekatan, syarikat dan negara lain berjaya bekerja dengan mereka dan di sekeliling mereka.

Sementara itu, Westports Holdings Bhd mendakwa perang perdagangan AS-China memberi hub pindah kapal sebagai 'memeningkan kepala' kerana mereka telah merancang ke hadapan, menyebabkan kejutan pasaran dan mengakibatkan kelembapan perdagangan.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Ruben Emir Gnanalingam, memberitahu media tempatan bahawa perniagaan akan membeli barang dengan banyak sebelum tarif benar-benar meningkat yang dianggap sebagai perniagaan yang baik tetapi selepas itu, menimbulkan kebimbangan berhubung kemungkinan perdagangan dan permintaan merosot.

Dilaporkan bahawa eksport Malaysia meningkat kepada nilai tertinggi sebanyak RM96.4 bilion pada Oktober 2018, meningkat pada kadar yang lebih tinggi daripada dijangkakan sebanyak 17.7 peratus berbanding setahun lalu, dijana oleh barangan perkilangan dan dengan penghantaran ke China meningkat dengan kukuh.

Banyak firma penyelidikan memetik aktiviti penghantaran dari China akan terus menyokong perniagaan tempatan sehinggalah konflik perdagangan Sino-AS diselesaikan.

Kembali kepada perkembangan tempatan, Loke memasuki pejabat dengan Pelan Induk Perkapalan Malaysia (MSMP) 2017-2022 yang masih perlu diselesaikan yang memerlukan beliau mengkaji kemajuan MSMP yang perlahan.

Usaha untuk memulihkan industri maritim dilihat lebih aktif pada separuh kedua tahun ini yang mana Loke, pada Ogos, mengumumkan pengaktifan majlis maritim itu untuk menyelia perkara berkaitan perkapalan dan pelabuhan semasa Persidangan Minggu Maritim Dunia 2018.

Sehubungan itu, Majlis Perkapalan dan Pelabuhan Negara (NSPC) mengadakan mesyuarat pertamanya pada 4 Disember.

NSPC menyaksikan penubuhan enam badan penasihat yang ditugaskan berdasarkan bidang tumpuan MSMP.

Mereka diketuai tokoh-tokoh terkemuka dalam bidang masing-masing termasuk Pengerusi Persatuan Pemilik Kapal Malaysia (MASA), Datuk Abdul Hak Md Amin; Ketua Pengarah Jabatan Laut Malaysia, Datuk Baharin Abdul Hamid; Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan MISC Bhd, Yee Yang Chien; dan Pengurus Besar Lembaga Pelabuhan Klang, Kapten Subramaniam Karuppiah.

Abdul Hak, yang mengetuai jawatankuasa penasihat NSPC bagi mempromosi penggunaan kapal Malaysia memberitahu BERNAMA bahawa majlis itu akan mencadangkan pengembalian dasar kabotaj, yang dianggap sebagai pemacu utama dalam MSMP serta industri maritim.

Bagaimanapun, topik itu mencetuskan percanggahan pendapat antara beberapa pihak, yang mana Menteri Kesihatan dan Kesejahteraan Negeri Sabah, Stephen Wong berpendapat, pengembalian dasar kabotaj akan mencetuskan perbezaan harga barangan antara Malaysia Timur dan Semenanjung.

Sebaliknya, Persatuan Strategik Maritim Malaysia (MASTRA) dan Persatuan Pemilik Kapal Sarawak dan Sabah menyokong penuh dasar kabotaj dilaksanakan kembali.

Abdul Hak berkata, tindakan menarik balik dasar kabotaj mengakibatkan kehilangan perniagaan untuk kapal Malaysia dengan fret tempatan diangkut oleh kapal asing diunjurkan bernilai RM28 bilion hingga RM30 bilion tahun ini, meningkat daripada RM24 bilion pada 2017.

Beliau percaya ia adalah langkah yang salah kerana menyebabkan jumlah muatan kapal merosot.

Mengulas perkara itu, beberapa akhbar tempatan melaporkan Loke sebagai mengesahkan bahawa isu pengembalian dasar kabotaj tidak timbul dan kerajaan sedang mengkaji kesan menggantung dasar tersebut dan bukan mempertimbangkan semula pelaksanaannya.

Loke, bagaimanapun, menegaskan bahawa dasar itu tidak berkaitan dengan harga barang yang lebih rendah.

Pada masa sama, untuk segmen pelabuhan Loke juga mengumumkan bahawa beliau mempelawa China Ocean Shipping (Group) Co (COSCO) dan CRRC Corp Ltd yang dimiliki kerajaan China untuk meningkatkan kerjasama dengan Malaysia, yang mana beliau dijadualkan berbincang dengan COSCO berhubung prospek kerjasama selanjutnya, dalam menjadikan Malaysia sebagai hab pindah kapal utamanya.

Perlu diperhatikan bahawa di bawah Belanjawan 2019 yang dibentangkan pada November, kerajaan memperuntukkan 153.781 hektar tanah di Pulau Indah untuk pembangunan Zon Bebas (FZ).

FZ itu akan memacu pertumbuhan untuk pelabuhan dari segi penjanaan kargo, walaupun Pelabuhan Klang sudah mencapai pertumbuhan menakjubkan dengan kemudahan pelabuhan yang sangat baik.

Memandangkan Malaysia bersedia mengembangkan industri maritim dan meningkatkan pengembangan pelabuhan, saingannya pelabuhan Singapura mengeluarkan dakwaan, dengan menyatakan bahawa pelabuhan Johor Baharu telah mengubah had pelabuhan berikutan dengan pengembangannya, mungkin menceroboh ke dalam perairan Singapura.

Melangkah ke 2019, prospek ekonomi Malaysia dijangka kekal berdaya tahan tetapi sederhana.

Menurut RAM Ratings, negara akan mempunyai pertumbuhan ekonomi yang lebih kukuh tahun depan, mengatasi pasaran baru muncul yang lain.

Ia menjangka Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negara akan berkembang 4.9 peratus tahun ini manakala Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) mengunjurkan pertumbuhan global 3.7 peratus dan pasaran baru muncul untuk berkembang 4.7 peratus.

Bank Dunia menilai semula dan menurunkan ramalan ekonomi Malaysia buat kali ketiga kepada 4.7 peratus tahun ini daripada 4.9 peratus pada Oktober dan sebelum itu, 5.4 peratus.

Unjuran yang lebih rendah oleh firma penyelidikan, Bank Dunia dan IMF, memberi isyarat bahawa persekitaran ekonomi yang lebih sukar pada 2019, kebanyakannya disebabkan faktor luaran, ketika tanda-tanda pemulihan dalam hubungan perdagangan antara AS dan China masih samar.

Bagaimanapun, industri itu masih boleh bergantung kepada pelbagai kemajuannya ketika kerajaan dan sektor korporat bekerjasama untuk memulihkan industri dengan lebih cepat.

Akhir sekali, u-Customs yang sudah lama tertangguh, yang adalah sistem gerbang window tunggal bernilai RM300 juta bertujuan menyelesaikan isu pelepasan kargo, dijadual dilaksanakan secara berperingkat di 15 pelabuhan tidak lama lagi.

Timbalan Presiden Persekutuan Pengangkut Fret Malaysia, Krishnan Chelliah, berkata persekutuan itu berharap pelaksanaan sistem U-Customs kerana ia akan mempercepat proses pelepasan kastam semasa.

"Berdasarkan taklimat yang dijalankan Jabatan Kastam, mereka memberi jaminan segala-galanya akan berjalan dengan baik, berdasarkan beberapa ujian perintis yang dilakukan dengan penyertaan lima syarikat.

"Ujian perintis pertama dijalankan di Westports," katanya kepada BERNAMA.

Walaupun pelaksanaan u-Customs akan membantu meredakan kebimbangan ejen penghantaran, mereka masih mendakwa bahawa sektor logistik kekal sebagai kurang dikawal selia.

Satu daripada isu utama yang dihadapi pemain tempatan adalah caj yang terlalu tinggi oleh syarikat perkapalan antarabangsa, yang disemak semula dengan sesuka hati.

Penghantar fret pada masa ini dikehendaki meletakkan deposit antara RM1,000 dan RM4,000 setiap kontena yang dibawa masuk oleh syarikat perkapalan.

Persekutuan itu menggesa kerajaan untuk melihat perkara mengutip deposit untuk kontena oleh syarikat perkapalan selepas usaha persekutuan untuk memulakan rundingan berakhir dengan kebuntuan.

Syarikat perkapalan termasuk China Ocean Shipping Company (COSCO), Hyundai Merchant Marine (M) Sdn Bhd, Newstar Shipping, Hapag Lloyd dan Emirates Shipping terbabit secara langsung dan jika perkara itu berlanjutan, akan menjejaskan syarikat tempatan dan membunuh perniagaan penghantaran fret tempatan. - BERNAMA

Berita Harian X