Rabu, 19 Disember 2018 | 4:15pm
DR Mohd Shahreen Zainooreen Madros ketika membentangkan rancangan pemasaran perdagangan antarabangsa MATRADE untuk tahun 2019 di Menara MATRADE. - NSTP/Saddam Yusoff
DR Mohd Shahreen Zainooreen Madros ketika membentangkan rancangan pemasaran perdagangan antarabangsa MATRADE untuk tahun 2019 di Menara MATRADE. - NSTP/Saddam Yusoff

MATRADE unjur eksport naik 6 peratus tahun depan

KUALA LUMPUR: Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE) mengunjurkan eksport negara akan berkembang sekitar lima hingga enam peratus pada 2019 bersandarkan kepada trend dagangan global semasa.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Dr Mohd Shahreen Zainooreen Madros, berkata bagi tempoh enam bulan akan datang, pihaknya optimis eksport dijangka akan mengalami pertumbuhan yang lebih baik.

Bagaimanapun, beliau menjelaskan, pihaknya turut mengambil pendekatan berjaga-jaga, kerana ia tetap bergantung kepada persekitaran ekonomi dunia semasa.

"MATRADE optimis dengan pertumbuhan eksport pada 2019 kerana Malaysia kebanyakannya mempunyai dagangan bersama negara anggota ASEAN dan blok ekonomi itu terus berkembang pesat.

"Perkembangan pesat rantau ini menjadikan ia sebagai satu kemajuan yang baik kepada sektor eksport negara.

"Malah, kita turut mempunyai hubungan dagangan serta eksport yang kukuh dengan negara lain seperti China, Eropah, Amerika Syarikat dan negara lain seluruh dunia.

"Dengan dagangan dunia yang akan berlegar sekitar empat hingga lima peratus, ia adalah peluang baik yang perlu diambil Malaysia dalam mempelbagaikan capaian eksport," katanya pada sidang media Program Kerja MATRADE 2019 di sini, hari ini.

Mohd Shahreen berkata, sejajar dengan agenda untuk memperkukuh sektor eksport negara dan menjadikan Malaysia terus unggul di peta dunia, MATRADE akan melaksanakan 477 program pada 2019.

Katanya, daripada jumlah itu, 437 program adalah bagi pembangunan eskport dan 40 program promosi eksport dalam menarik minat perusahaan kecil dan sederhana (PKS) ke peringkat global.

"Program promosi eksport juga akan dijalankan mengikut beberapa bahagian dunia seperti di Asean, Asia Barat, Ocenia, Asia Timur, Asia Tengah Afrika dan Eropah. "Program Kerja MATRADE ini adalah untuk menarik lebih banyak sumbangan PKS dan syarikat pertengahan dalam sektor eksport sekali gus memanfaatkan ekonomi," katanya.

Selain itu, antara perkara turut menjadi penekanan adalah kesan dari e-dagang, Industri 4.0, kepintaran buatan, data besar dan transformasi digital. Antara bidang yang akan terbabit adalah elektrik dan elektronik, minyak dan gas, pembinaan, perkhidmatan, halal, automotif dan industri kreatif.

Berita Harian X