Khamis, 13 Disember 2018 | 1:10pm

Jualan dagangan borong, runcit naik 8.2 peratus pada Oktober

KUALA LUMPUR: Jualan perdagangan borong dan runcit bagi Oktober 2018 mencatat pertumbuhan 8.2 peratus kepada RM106 bilion berbanding tempoh sama, tahun lalu.

Dalam satu kenyataan hari ini, Jabatan Perangkaan menyatakan pertumbuhan itu dipacu perdagangan runcit yang terus merekodkan peningkatan dua angka sebanyak 11.2 peratus kepada RM42 bilion.

Menurut Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin, pengukuhan itu dipacu jualan di kedai bukan pengkhususan, jualan makanan, minuman dan tembakau di kedai khusus dan jualan barangan kesenian dan rekreasi di kedai khusus.

“Bagi prestasi bulanan, nilai jualan kembali mencatat pertumbuhan positif 1.2 peratus, didorong subsektor kenderaan bermotor yang berkembang sebanyak 8.7 peratus.

“Pengembangan ini disebabkan wujudnya stok baharu bagi menggantikan stok yang telah digunakan pada akhir tempoh tanpa cukai berikutan permintaan tinggi,” katanya. - BERNAMA

Berita Harian X