Khamis, 29 November 2018 | 1:09pm
DR Mohd Uzir Mahidin. - NSTP/Ahmad Irham Mohd Noor
DR Mohd Uzir Mahidin. - NSTP/Ahmad Irham Mohd Noor

Prestasi perniagaan suku keempat 2018 dijangka meningkat

KUALA LUMPUR: Prestasi perniagaan dalam suku keempat 2018 dijangka meningkat dengan petunjuk keyakinan berada pada +7.1 peratus berbanding +6.0 peratus pada suku sebelumnya, kata Jabatan Perangkaan.

Ketua Perangkawan Malaysia, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin, berkata petunjuk keyakinan bagi sektor perkhidmatan meningkat kepada +18.8 peratus pada suku keempat 2018 daripada +16.5 peratus pada suku sebelumnya.

“Petunjuk keyakinan bagi sektor perdagangan borong dan runcit juga mengukuh kepada +13.2 peratus daripada +3.6 peratus,” katanya dalam satu kenyataan susulan penerbitan Statistik Kecenderungan Perniagaan bagi Suku Tahun Keempat 2018 oleh Jabatan Perangkaan, hari ini.

Sementara itu, petunjuk keyakinan bagi sektor pembinaan terus menurun kepada -21.5 peratus pada suku keempat 2018 berbanding -7.7 peratus pada suku sebelumnya.

“Sejumlah 42.6 peratus responden bagi semua sektor yang diliputi menjangkakan hasil kasar mereka meningkat, manakala 14.8 peratus responden menjangkakan penurunan dalam hasil kasar,” kata Mohd Uzir.

Dalam masa yang sama, Jabatan Perangkaan turut melaporkan bahawa prestasi perniagaan mengukuh pada suku tahun ketiga 2018 dengan imbangan bersih keseluruhan +4.1 peratus.

Sektor perdagangan borong dan runcit (+14.2 peratus) adalah penyumbang utama kepada peningkatan itu.

“Peniaga menjangkakan prestasi perniagaan yang lebih menggalakkan bagi tempoh Oktober 2018 hingga Mac 2019 dengan imbangan bersih +12.3 peratus. Ini disokong terutamanya oleh sektor perdagangan borong dan runcit (+23.1 peratus),” kata jabatan itu. - BERNAMA

Berita Harian X