Khamis, 29 November 2018 | 8:25am
GAMBAR fail, Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Darell Leiking ketika berucap pada Majlis Perasmian Karnival Kerjaya dan Pendidikan di Dewan Hongkod Koisaan, Persatuan Kebudayaan Kadazandusun (KDCA), Penampang. - Foto Malai Rosmah Tuah
GAMBAR fail, Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Darell Leiking ketika berucap pada Majlis Perasmian Karnival Kerjaya dan Pendidikan di Dewan Hongkod Koisaan, Persatuan Kebudayaan Kadazandusun (KDCA), Penampang. - Foto Malai Rosmah Tuah

Tiada tarikh akhir ratifikasi CPTPP - Darell

KUALA LUMPUR: Kerajaan tidak menetapkan sebarang tarikh akhir bagi proses meratifikasi Perjanjian Komprehensif dan Progresif Bagi Perkongsian Trans-Pasifik (CPTPP), kata Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) Datuk Darell Leiking.

Beliau berkata, proses meratifikasi CPTPP hanya akan dilakukan apabila kerajaan benar-benar yakin ia mampu membawa manfaat dan kebaikan kepada negara.

“Tiada tarikh akhir dan proses untuk penguatkuasaan perjanjian itu, saya percaya akan bermula pada akhir tahun ini berikutan tujuh negara telah meratifikasi CPTPP," katanya semasa menggulung perbahasan peringkat jawatankuasa Belanjawan 2019 bagi MITI pada Persidangan Dewan Rakyat, semalam.

Di bawah terma CPTPP, perjanjian itu memerlukan ratifikasi oleh sekurang-kurangnya separuh daripada penandatangannya, atau enam daripada 11 negara terbabit.

Tujuh negara yang sduah meratifikasi CPTPP termasuk Mexico, Jepun, Singapura, New Zealand, Kanada, Australia dan Vietnam.

Menurut Darell, kerajaan sudah menjalankan kajian impak dan sehubungan itu beliau berharap rakyat serta pemain industri dapat bersabar supaya satu keputusan terbaik dapat dilakukan.

“Saya tahu ada (pihak) yang cakap mereka telah membuat kajian impak dan risau kesan berkenaan persaingan yang ada masa ini dan ada juga yang melihat peluang untuk kita mengadakan Perjanjian Perdagangan Bebas (FTA) ketika mana China dan Amerika mempunyai masalah dan membawa kita ke tahap lebih hebat.

“Tetapi kerajaan tegas, bahawa kita ada banyak FTA. Kita juga ada banyak pertimbangan yang perlu diambil sebelum kita meratifikasikan CPTPP,” katanya.

Pada masa yang sama, Darell berkata, kerajaan juga sedang membuat rundingan lebih mendalam bersama rakan Perkongsian Ekonomi Komprehensif Serantau (RCEP) dan berharap ia dapat ditandatangani tahun hadapan.

“Kita juga menerima tawaran FTA dari beberapa negara. Ada sebuah negara ASEAN berminat memeterai FTA dengan Malaysia dan ada juga negara yang meminta kajian semula FTA dan kita akan membuat keputusan melalui Kabinet,” katanya. - BERNAMA

Berita Harian X