Rabu, 7 November 2018 | 2:46pm
- Foto Hiasan
- Foto Hiasan

Kebergantungan negara kepada hasil minyak cetus risiko fiskal

KUALA LUMPUR: Kebergantungan Malaysia terhadap pendapatan minyak dalam Belanjawan 2019 adalah berisiko kepada pengukuhan fiskal, demikian menurut penyedia perkhidmatan risiko dan data pasaran kredit utama global, Fitch Solutions.

Anak syarikat Fitch Group itu berkata langkah menyokong pengukuhan fiskal dengan bersandarkan kepada kenaikan hasil minyak adalah tidak mampan untuk jangka panjang.

“Kami melihat risiko penurunan kepada rali harga minyak pada 2019, berikutan permintaan yang bertambah perlahan, di tengah-tengah tinjauan ekonomi makro global yang lemah.

“Kami juga mengunjurkan pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) benar kepada purata 4.4 peratus antara 2019 dan 2021, lebih rendah berbanding unjuran kerajaan 5.0 peratus (pertengahan julat unjuran 4.5-5.5 peratus), yang mungkin menjejaskan kutipan hasil cukai langsung (cukai pendapatan dan korporat) bagi tahun mendatang,” katanya dalam nota penyelidikannya.

Fitch Solutions juga mengekalkan unjuran defisit fiskal bagi Malaysia untuk 2018 dan 2019 kepada 3.7 peratus, berikutan kebimbangan terhadap kebergantungan dalam pendapatan minyak, berbanding dasar meningkatkan pendapatan yang ketara di tengah-tengah tinjauan ekonomi makro global yang tidak menentu.

Ia berkata, dengan pembatalan sebahagian besar projek, langkah pengukuhan selanjutnya mungkin datang daripada peningkatan pendapatan atau mengurangkan perbelanjaan operasi, berbanding mengurangkan pelaburan modal dalam tahun mendatang.

Fitch Solutions juga menjangkakan langkah pendapatan utama lain termasuk pelaksanaan cukai soda dan levi pelepasan yang masing-masing dijangka berkuat kuasa bermula 1 April 2019 dan 1 Jun 2019, hanya mampu meningkatkan pendapatan negara ini pada paras yang terhad.

Namun, katanya berikutan pelaksanaan levi pelepasan pada 1 Jun 2019, jumlah pendapatan adalah separuh iaitu RM284.6 juta.

Bagi minuman ringan pula, Fitch Solutions berkata, kaji selidik perbelanjaan isi rumah yang dijalankan pada 2010 oleh Jabatan Perangkaan menunjukkan bahawa rakyat Malaysia membelanjakan RM3.20 untuk minuman ringan dan jus per kapita setiap bulan.

“Ini membayangkan anggaran RM1.1 bilion yang dibelanjakan untuk minuman manis tahun itu, dan kerajaan juga menyatakan bahawa duti eksais ke atas minuman manis akan menjana pendapatan RM200 juta pada 2019.

“Dengan mengambil kira secara bersama, kedua-dua langkah itu secara purata berjumlah kurang daripada sepersepuluh peratusan KDNK tahunan setakat pendapatan suku kedua 2018,” katanya.

Fitch Solutions juga menyifatkan unjuran kerajaan Malaysia terhadap pertumbuhan KDNK benar sebanyak 4.9 peratus adalah optimis berikutan ketidaktentuan persekitaran luaran dan penilaian semula projek pembinaan.

Ia berkata, hutang awam Malaysia sebagai sebahagian daripada KDNK dijangka kekal tinggi dalam tahun akan datang.

“Hutang yang meningkat akan mengurangkan kemampuan Putrajaya untuk bertindak balas terhadap kejutan negatif kepada ekonomi, terutama dari luar,” katanya.

Berita Harian X