Jumaat, 2 November 2018 | 12:02pm

MATRADE manfaatkan ekspo di China

KUALA LUMPUR: Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE) mensasarkan untuk memanfaatkan Ekspo Import Antarabangsa China 2018 (CIIE 2018) untuk meningkatkan peluang eksport dalam rakan dagang terbesar negara itu.

Ekspo itu, yang akan berlangsung dari 5 hingga 10 November di Shanghai, akan disertai 80 syarikat Malaysia, dengan misi diketuai Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Darell Leiking.

Selain itu, bakal pembeli dari 81 negara dijangka menemui syarikat Malaysia di sana.

Dalam kenyataan hari ini, Ketua Pegawai Eksekutif Ir Dr Mohd Shahreen Madros, berkata Matrade mensasarkan untuk mengetengahkan sektor bernilai tinggi Malaysia terutamanya peralatan berteknologi tinggi dan perkhidmatan.

"Malaysia boleh mengambil peluang daripada peluang yang ada daripada Inisiatif Jalur dan Laluan, yang matlamat utamanya menggalakkan perdagangan tanpa halangan.

"Memandangkan China adalah rakan dagang terbesar kita sejak 2009, kita perlu meningkatkan usaha untuk memudahkan akses syarikat Malaysia ke pasaran itu supaya perdagangan kita dengan China akan terus kompetitif," katanya.

Bagi tempoh Januari hingga Ogos 2018, perdagangan Malaysia dengan China berkembang 9.6 peratus kepada RM206.19 bilion, dengan eksport meningkat 11 peratus disumbangkan terutamanya oleh produk elektrik dan elektronik, produk kimia dan kimia, perkilangan logam serta peralatan optik dan saintifik. - BERNAMA

Berita Harian X