Khamis, 1 November 2018 | 5:24pm

Syed Hamadah Othman dilantik CEO KWAP

KUALA LUMPUR: Kumpulan Wang Persaraan (Diperbadankan) (KWAP) mengumumkan pelantikan Syed Hamadah Othman sebagai Ketua Eksekutif (CEO) yang baharu berkuatkuasa hari ini.

Syed Hamadah mengambil alih jawatan Datuk Wan Kamaruzaman Wan Ahmad yang telah berkhidmat dengan KWAP sejak 2 Mei 2013.

KWAP dalam satu kenyataan berkata, Wan Kamaruzaman meninggalkan organisasi dana pencen berkenaan selepas membuat sumbangan penting kepada pembaharuan dan pertumbuhan syarikat.

“Beliau telah menerajui perubahan yang bermakna untuk memacu pertumbuhan masa depan KWAP,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

KWAP berkata, Syed Hamadah adalah seorang daripada pengamal dalam aspek pencen dan jaminan sosial di negara ini. Sebelum ini, beliau adalah Pengarah di Actuarial Partners Consulting Sdn Bhd.

Semasa memegang jawatan berkenaan di firma itu, beliau menerajui perniagaan pencen dan mengkhusus dalam rundingan mengenai isu termasuklah dana pencen dan perakaunan, pengambilalihan dan penggabungan, rekaan skim pencen, pembaharuan pencen dan latihan.

Beliau sebahagian daripada pasukan rundingan yang menyemak semula sistem pencen, jaminan sosial dan penjagaan kesihatan di negara ini.

Syed Hamadah juga bertanggungjawab ke atas semakan semula manfaat dan rekaan kebanyakan skim pencen utama di Malaysia dan luar negara.

Beliau juga adalah Felo di Fakulti Aktuari, United Kingdom dan Felo di Jabatan Aktuari Malaysia. Beliau mempunyai ijazah dalam bidang Statistik dan Matematik Aktuari dari Heriot Watt University, Edinburgh.

Berita Harian X