Khamis, 1 November 2018 | 3:14pm
AHLI Lembaga Kanan LPEPH, Kamaruzaman Jamil (kiri). - Foto Nur Adibah Ahmad Izam
AHLI Lembaga Kanan LPEPH, Kamaruzaman Jamil (kiri). - Foto Nur Adibah Ahmad Izam

Fungsi Bertindih jika wujudkan lembaga berasingan untuk Pengurus Harta

KUALA LUMPUR: Lembaga Penilai, Pentaksir, Ejen Harta Tanah dan Pengurus Harta (LPEPH) menegaskan cadangan untuk mewujudkan pendaftaran berasingan untuk profesion Pengurus Harta, Pengurus Fasiliti dan Pengurus Strata adalah bertindih dan tiada keperluan terhadapnya.

Ahli Lembaga Kanan LPEPH, Kamaruzaman Jamil, berkata pertindihan itu adalah disebabkan daftar Pengurus Harta telah diwujudkan di bawah Akta Penilai, Pentaksir, Ejen Harta Tanah dan Pengurus Harta (Akta 242).

Beliau berkata, dengan pindaan akta berkenaan sebelum ini, ia memperuntukkan LPEPH untuk menyelia pengurus harta yang menguruskan harta, termasuk harta pemilikan strata dan bukan pemilikan strata seperti kompleks pejabat, perniagaan, kondominium dan seumpamanya.

“Langkah mewujudkan satu lembaga berasingan untuk mendaftar dan mengawal selia ketiga-tiga profesion itu hanya akan memberi kesan negatif dan memberi kekeliruan kepada pelanggan untuk mencari jalan penyelesaian.

“Di bawah Akta Pengurusan Strata 2013 (Akta 757), Pengurus Strata dikawal selia oleh Pesuruhjaya Bangunan, Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), manakala profesion Pengurus Fasiliti oleh Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB).

“Malah, ia juga selari dengan kenyataan Timbalan Menteri KPKT, Datuk Raja Kamarul Bahrin Shah Raja Ahmad Baharuddin Shah, yang turut menyatakan bahawa tiada keperluan bagi pengasingan ini,” katanya dalam sidang media di sini, hari ini.

Sehingga kini, seramai 3,000 Pengurus Harta telah berdaftar dengan LPEPH.

LPEPH ditubuhkan sejak tahun 1981, berfungsi sebagai badan bebas dalam menguruskan pendaftaran Penilai, Pentaksir, Ejen Harta Tanah dan Pengurus Harta dan mengawal selia profesion berdasarkan kod dan etika amalan.

Kamaruzaman berkata, tanggapan yang mengatakan Pengurus Harta berdaftar perlu bekerja di bawah Penilai Berdaftar juga adalah tidak tepat.

“Ini kerana Pengurus Harta berdaftar boleh membuka syarikat sendiri dan mengamalkan amalan pengurusan harta dan tidak perlu bekerja di bawah Penilai Berdaftar,” katanya.

Baru-baru ini, dilaporkan terdapat kemungkinan bagi mewujudkan satu lembaga berasingan untuk mendaftar dan mengawal selia ketiga-tiga profesion iaitu Pengurus Harta, Pengurus Fasiliti dan Pengurus Strata.

Dalam pada itu, Kamaruzaman berkata, pihaknya turut menyasarkan pendaftaran sehingga 6,000 Pengurus Harta menjelang hujung tahun ini bagi meningkatkan kecekapan kawal selia terhadap profesion serta kepentingan awam.

Berita Harian X