Rabu, 31 Oktober 2018 | 1:23pm

BNM nilai semula pembelian tanah kontroversi

KUALA LUMPUR: Bank Negara Malaysia (BNM) mengesahkan beberapa pegawainya yang terbabit dalam pembelian sebidang tanah bernilai RM2 bilion pada Januari lalu telah memilih untuk bercuti.

Dalam satu kenyataan, BNM berkata pada Ogos 2018, bank pusat itu telah meminta diadakan satu penilaian semula pembelian tanah Lot 41 oleh penilai bebas.

“Penilaian berkenaan masih berjalan. Bagi memastikan penilaian dalaman ini berjalan dengan lancar, beberapa pegawai BNM yang berkenaan telah memilih untuk bercuti sehingga penilaian selesai,” katanya.

Pada Jun lalu, bekas Gabenor BNM, Tan Sri Muhammad Ibrahim, meletakkan jawatan susulan daripada kontroversi itu.

Bagaimanapun, dalam kenyataannya ketika itu beliau menjelaskan setiap keputusan yang dibuat sepanjang kepemimpinannya adalah berdasarkan profesionalisme, maruah dan integriti yang tinggi.

“Kita dinilai atas keputusan yang kita buat, misalnya seperti pembelian Lot 41, baru-baru ini, yang dibeli pada harga RM850 sekaki persegi telah menarik perhatian umum,” katanya.

Muhammad berkata, pembelian Lot 41 juga bukan transaksi kali pertama dilakukan BNM.

Katanya, persepsi umum menyatakan pembelian tanah itu dibuat bertujuan bersekongkol dalam penyelewengan dana awam berkaitan rasuah dan skandal mengenai 1Malaysia Development Bhd (1MDB).

Beliau kemudiannya digantikan oleh Datuk Nor Shamsiah Mohd Yunus.

Pada 4 Januari lalu, BNM dilaporkan membeli sebidang tanah berkeluasan 22.5 hektar daripada kerajaan bernilai RM2 bilion.

Tanah itu dirancang untuk dibangunkan sebagai sebuah hab pendidikan kewangan terdiri daripada penempatan semula Universiti Kewangan Islam Global (INCEIF) dan Akademi Penyelidikan Shariah Antarabangsa bagi Kewangan Islam (ISRA), selain pembangunan kemudahan latihan serta pendidikan masa depan.

Pembelian berkenaan dibuat tidak lama selepas 1MDB pada 27 Disember lalu mengumumkan ia sudah membuat bayaran akhir AS$600 juta kepada International Petroleum Investment Co (IPIC), sebelum tarikh akhir 31 Disember 2017.

Terdapat pertikaian bahawa adalah sesuatu yang jarang berlaku bagi sebuah agensi kerajaan membeli tanah daripada Kerajaan Persekutuan, dengan urus niaga berkenaan dijalankan mengikut harga pasaran.

Berita Harian X