Khamis, 18 Oktober 2018 | 5:44pm
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Malaysian Green Technology Corporation, Dr Mohd Azman Zainul Abidin. - Foto Salhani Ibrahim
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Malaysian Green Technology Corporation, Dr Mohd Azman Zainul Abidin. - Foto Salhani Ibrahim

Sasar 56 PBT diiktiraf rendah karbon

KUALA LUMPUR: Malaysian Green Technology Corporation menyasarkan sebanyak 56 pihak berkuasa tempatan (PBT) diiktiraf Rangka Kerja Bandar Rendah Karbon (LCCF) menjelang 2020.

Ketika ini, hanya 24 PBT yang berjaya mendapat pengiktirafan LCCF, antaranya Majlis Bandaraya Shah Alam dan Majlis Perbandaran Subang Jaya di Selangor serta Majlis Perbandaran Hang Tuah Jaya di Melaka.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulannya, Dr Mohd Azman Zainul Abidin, berkata sejak LCCF mula diperkenalkan pada 2011, banyak kejayaan telah dicapai terutama membabitkan pengurangan pelepasan karbon.

Katanya, sejak tujuh tahun lalu, hampir 9,400 tan pelepasan gas karbon dioksida (CO2) berjaya dikurangkan sehingga kini hasil inisiatif LCCF itu.

“Kami yakin baki lagi 32 PBT ini akan mampu untuk mengikuti segala kriteria yang ditetapkan dalam rangka kerja ini sekali gus mendapat pengikitrafan LCCF menjelang 2020,” katanya kepada NSTP ketika ditemui selepas pelancaran laman sesawang LCCF.My pada Persidangan dan Pameran Antarabangsa Teknologi Hijau dan Produk Eko Malaysia (IGEM) ke-9 2018 di sini, hari ini.

LCCF adalah dokumen yang direka bentuk sebagai komitmen Malaysia mengurangkan intensiti pelepasan CO2 sebanyak 45 peratus Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) per kapita menjelang tahun 2030.

Ia terdiri daripada pendekatan pengurangan karbon di mana faktor pelepasan karbon bagi setiap aktiviti yang menghasilkan karbon difokuskan menggunakan empat elemen iaitu persekitaran bandar, pengangkutan bandar, infrastruktur bandar dan bangunan.

Mengulas lanjut, Mohd Azman berkata, faktor kos antara halangan utama untuk PBT mengikuti kriteria ditetapkan dalam rangka kerja itu.

“Sebagai contoh, mungkin ada PBT berdepan kekangan kewangan untuk menukar kepada lampu LED di bangunan, namun mereka sebenarnya boleh melakukan penggantian itu secara berperingkat, tidak perlu secara menyeluruh,” katanya.

Dalam pada itu, mengulas mengenai pelancaran LCCF.My, beliau berkata laman web itu adalah platform perkongsian berkaitan teknologi dan kewangan hijau di Malaysia.

“Sesiapa saja boleh menyumbang artikel mengenai inisiatif hijau untuk dipaparkan di laman web ini,” katanya.

Berita Harian X