Khamis, 18 Oktober 2018 | 11:55am

Eksport Jepun susut buat pertama kali sejak 2016

TOKYO: Eksport Jepun susut pada September, penyusutan kali pertama sejak 2016 berikutan penghantaran ke Amerika Syarikat (AS) dan China menguncup.

Ia berkemungkinan memberi kesan kepada pertumbuhan suku ketiga negara itu dan menambah kebimbangan berhubung impak yang semakin meluas tercetus daripada perang perdagangan AS-China.

Data diperoleh beberapa hari selepas kaji selidik Reuters menunjukkan satu pertiga syarikat Jepun - bukan hanya pengeksport - terkesan daripada konflik antara dua ekonomi terbesar dunia itu, dan lebih separuh bimbang berhubung perniagaan masing-masing.

Pembuat dasar Jepun juga kekal berhati-hati akan impak ekonomi berhubung pergeseran perdagangan antarabangsa.

Beberapa bencana alam semula jadi yang melanda Jepun turut menambahkan lagi kegusaran ke atas pengilang, mengganggu pengeluaran dan edaran fizikal.

Persengketaan tarif AS-China belum lagi memberi kesan material kepada aktiviti perdagangan, tetapi kelembapan permintaan luaran memperkukuhkan lagi pendapat bahawa ekonomi Jepun, ketiga terbesar di dunia, berkemungkinan bergerak perlahan secara ketara pada suku Julai-September.

"Ekonomi berkemungkinan berkembang sedikit saja pada suku ketiga, diterajui syarikat pengguna... Permintaan luaran dijangka tidak menyumbang," kata Takeshi Minami, ketua ahli ekonomi di Norinchukin Research Institute.

"Mengandaikan persengketaan perdagangan AS-China memberi kesan meluas ke atas perdagangan global, eksport Jepun akan bergelut untuk berkembang."

Minami berkata, penyusutan dalam penghantaran ke AS dan China - dua destinasi eksport utama Jepun - adalah membimbangkan kerana setiap negara masing-masing menyumbang sekitar 20 peratus daripada eksport Jepun.

Data Kementerian Kewangan (MoF) menunjukkan eksport Jepun jatuh 1.2 peratus pada September berbanding bulan sama tahun sebelumnya.

Ia bertentangan jangkaan peningkatan 1.9 peratus yang dikaji selidik Reuters, dan susulan kenaikan 6.6 peratus pada Ogos.

Ia adalah penyusutan pertama sejak November 2016.

Eksport susut 4.8 peratus sehingga September, penyusutan pertama dalam tujuh bulan.

Eksport Jepun ke AS susut 0.2 peratus sehingga September tahun ini, disebabkan penyusutan penghantaran mesin pembinaan dan perlombongan, peralatan automotif dan ubat-ubatan. - Reuters

Berita Harian X