Rabu, 10 Oktober 2018 | 2:04pm
Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Darell Leiking. - Foto Mohd Yusni Ariffin

Projek kereta nasional ketiga pikat negara ASEAN

KUALA LUMPUR: Langkah Malaysia untuk membangunkan jenama kereta nasional ketiga mungkin menyaksikannya memperoleh sumber dari negara-negara Asia Tenggara, ketika rantau ini membentuk hubungan lebih kukuh untuk menyerap ketegangan perdagangan Amerika Syarikat (AS)-China.

Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Darell Leiking dalam satu temubual bersama Bloomberg Television berkata impian Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad untuk membangunkan jenama automotif tempatan berjaya menarik minat negara jiran.

“Apa yang dimaksudkan Dr Mahathir bahawa beliau memerlukan sesuatu di mana rakyat Malaysia boleh bersatu, ASEAN boleh bersatu untuk membekalkan komponen kenderaan dan menjadikan ia sebagai kereta nasional bagi ASEAN, bukan hanya di Malaysia,” katanya dalam satu temubual Bloomberg Television di sini.

Leiking berkata: “Ia adalah cita-cita tinggi, namun saya berpendapat bahawa ia satu keperluan buat masa sekarang, lebih-lebih lagi apabila anda mahu wujudkan blok ekonomi seperti ASEAN.”

Dengan perang dagangan antara AS-China semakin meningkat, 10 negara anggota ASEAN mendapat manfaat daripada krisis itu selepas syarikat-syarikat mengalihkan tumpuan, termasuk pusat pengeluaran ke rantau ini.

Ia kini menjadi destinasi utama dikalangan satu pertiga daripada lebih 430 syarikat AS di China yang menimbangkan untuk memindahkan operasi ke negara lain, demikian menurut kaji selidik yang dilaksanakan oleh AmCham China dan AmCham Shanghai.

Kilang pemasangan Toyota Motor Corp, Tata Motors Ltd dan Ford Motor Co, sudah beroperasi di Thailand, iaitu pengeluar kereta terbesar di Asia Tenggara.

Thailand menjangkakan untuk melonjakkan pengeluaran kenderaan kepada 3.5 juta unit pada 2020, iaitu 80 peratus lebih tinggi berbanding 2016, selain ia mengeksport kenderaan ke Australia dan Jepun, termasuk Malaysia serta Indonesia.

Malaysia meraih manfaat sebagai pusat penghantaran menerusi Selat Melaka, laluan bersejarah yang menghubungkan ekonomi terbesar Asia dari Jepun dan China ke India dan berikutnya.

Menteri Kewangan, Lim Guan Eng, berkata perang dagang memberi maklum balas positif kepada Malaysia sehingga ke tahun depan atau tahun-tahun akan datang terutama dalam sektor elektronik dan keluli selepas dua ekonomi terbesar dunia mencari alternatif bagi tujuan pembekalan.

Kerajaan pula sedang mengumpul pandangan daripada pihak industri bagi membangunkan jenama kereta baharu dan projek itu akan dipacu dan dibiayai oleh sektor swasta, kata Leiking.

Katanya, kerajaan akan membantu dari segi pelesenan dan kemudahan.

Dr Mahathir menghidupkan kembali visinya untuk mewujudkan jenama kereta nasional selepas beberapa bulan mengambilalih kerajaan.

Perdana Menteri adalah individu bertanggungjawab memulakan Proton Holdings Bhd (PROTON) pada tahun 1980, namun syarikat itu kemudiannya diswastakan dan hampir separuh kepentingannya dijual kepada syarikat automotif China, Zhejiang Geely Holding Group Co.

Selepas PROTON, usaha kedua pula dilaksanakan dengan penubuhan Perusahaan Otomobil Kedua Sdn Bhd (PERODUA) pada tahun 1990.

Bagaimanapun, Leiking berkata, kali ini jenama kereta baharu ini akan bersaing luar Malaysia.

“PROTON sudah mencapai sasaran yang dikehendaki.

“Jadi, ia (jenama kereta nasional ketiga) tidak akan bersaing dengan PROTON atau PERODUA atau dengan mana-mana jenama. Ia perkara yang berbeza sama sekali,” katanya.

Pengeluar kereta yang berjaya akan membantu memacu eksport negara, yang bergantung kepada komoditi termasuk minyak mentah, minyak sawit dan elektronik.

Eksport susut 0.3 peratus pada Ogos berbanding tahun sebelumnya, susut jauh daripada anggaran ahli ekonomi iaitu peningkatan lapan peratus.

Ia menyaksikan lebihan perdagangan mengecil kepada RM1.6 bilion, daripada RM8.3 bilion pada Julai.

Malaysia sudah mengambil kira kemungkinan kesan ketegangan perdagangan global terhadap rantaian bekalan.

Kerajaan sudah mengadakan perbincangan dengan wakil daripada AS dan China mengenai rasional yang masih ada.

“Kita harapkan AS dan China memahami, dan saya berharap ia benar-benar berlaku,” kata Leiking.

- Bloomberg

Berita Harian X