Selasa, 9 Oktober 2018 | 2:51pm
TIMBALAN Ketua Pegawai Eksekutif MATRADE, Datuk Wan Latiff Wan Musa. - NSTP/Mohamad Shahril Badri Saali
TIMBALAN Ketua Pegawai Eksekutif MATRADE, Datuk Wan Latiff Wan Musa. - NSTP/Mohamad Shahril Badri Saali

Yiwu pintu gerbang tembusi pasaran borong China

KUALA LUMPUR: Pusat Perkhidmatan Pembeli Malaysia ditubuhkan di Yiwu, China untuk syarikat-syarikat Malaysia menjadi sebahagian daripada pasaran borong terbesar dunia, kata Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE).

Timbalan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Wan Latiff Wan Musa, berkata Pusat Perkhidmatan Pembeli Malaysia di Yiwu itu akan bertindak sebagai pintu gerbang syarikat tempatan untuk memasarkan produk mereka ke China.

Beliau berkata, selain meneroka populasi besar di China, Yiwu juga berfungsi sebagai platform syarikat tempatan menjual produk mereka ke dunia.

“Yiwu terhubung dengan baik ke wilayah lain di China dan seluruh dunia melalui Jalan Sutera dan lebuh raya, malah terdapat laluan rel yang menghubungkannya ke Eropah melalui Asia Tengah,” katanya pada sidang akhbar selepas merasmikan seminar untuk memperkenalkan pusat itu kepada syarikat Malaysia.

Pusat Perkhidmatan Pembeli Malaysia ditubuhkan oleh Biro Perdagangan Yiwu.

Wan Latiff berkata, Yiwu adalah pasaran borong terbesar di dunia, di mana 500,000 syarikat asing mendapatkan produk setiap tahun.

“Yiwu mengeksport produk ke lebih 210 negara seluruh dunia dengan eksport barangan harian mencecah lebih 800 kontena,” katanya.

Pada tahun ini saja, jumlah eksport global Yiwu mencecah AS$33.66 bilion.

Beliau berkata, Pusat Perkhidmatan Pembeli Malaysia juga telah memulakan portal e-dagangnya, satu platform strategik untuk memasarkan produk Malaysia di Yiwu.

Katanya, MATRADE dengan kerjasama Biro Perdagangan Yiwu akan melancarkan misi pemecut eksport khas dari 11 hingga 13 November ini, dengan memawa bersama kira-kira 100 syarikat Malaysia.

“Semasa misi itu, beberapa pertemuan perniagaan akan diatur untuk membolehkan pengeksport Malaysia bertemu dengan pembeli berpotensi yang berpangkalan di Yiwu.

“Pertemuan itu akan memberikan pautan lebih besar antara pembekal Malaysia dengan komuniti perniagaan tempatan di China serta pembeli antarabangsa di Yiwu,” katanya.

Berita Harian X