Isnin, 8 Oktober 2018 | 3:47pm
DR Wan Azizah diiringi Mohd Redzuan (dua dari kiri) dan Aria (kiri) pada majlis pelancaran SME Bank EXCESS 2018 dan dua produk, MySMELady dan MySMExport di Kuala Lumpur. - NSTP/Luqman Hakim Zubir
DR Wan Azizah diiringi Mohd Redzuan (dua dari kiri) dan Aria (kiri) pada majlis pelancaran SME Bank EXCESS 2018 dan dua produk, MySMELady dan MySMExport di Kuala Lumpur. - NSTP/Luqman Hakim Zubir

SME Bank bakal perkenal pelan PKS industri 4.0

KUALA LUMPUR: SME Bank bakal memperkenalkan pelan perancangan strategik dalam mempertingkatkan ekosistem perusahaan kecil dan sederhana (PKS) selaras penekanan terhadap kepentingan Revolusi Industri 4.0 (IR 4.0)

Ketua Pegawai Eksekutif SME Bank, Aria Putera Ismail berkata, sejak ditubuhkan pada 2005, institusi perbankan itu banyak mengalami transformasi selari dengan pelbagai perubahan yang berlaku dari semasa ke semasa.

Katanya, sejak menerajui SME Bank sejak 3 September lalu, beliau bersama pengurusan telah mengadakan perbincangan secara teliti dan akhirnya membuahkan idea mengenai perancangan bagi pengukuhan sektor keusahawanan.

"Kita akan perkenalkan perancangan baru setelah berusaha dalam tempoh sebulan ini dan cadangan ini akan kami bawakan kepada kementerian untuk dibentangkan kepada menteri.

"Perancangan ini secara khususnya adalah bagaimana untuk SME Bank terus berkembang maju dan usaha dalam membantu seluruh ekosistem PKS supaya dapat menjadi penyumbang utama kepada ekonomi negara.

"Malah, landskap ekonomi global turut mengalami evolusi yang diterajui oleh teknologi tinggi dan IR 4.0 membabitkan automasi dan robotik, kecerdasan buatan, analisis data besar serta teknologi kewangan.

“Jadi, pelan perancangan ini adalah bagaimana kita, sebagai bank dapat memainkan peranan untuk merancakkan sektor keusahawanan dari semua teknologi ini," katanya dalam sidang media selepas majlis pelancaran SME Bank EXCESS 2018 dan dua produk, MySMELady dan MySMExport di sini, hari ini.

Hadir sama, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail dan Menteri Pembangunan Usahawan, Mohd Redzuan Md Yusof.

Sejak penubuhan SME Bank, bank terbabit telah meluluskan pembiayaan berjumlah RM29.3 bilion kepada lebih 16,000 pelanggannya.

Melalui program Upward Migration SME Bank pula, kira-kira 1,200 usahawan PKS berjaya mempertingkatkan perniagaan masing-masing ke tahap yang lebih tinggi.

Centre for Entrepreneur Development and Research Sdn Bhd (CEDAR), anak syarikat milik penuh SME Bank turut berjaya melatih hampir 35,000 usahawan dalam pelbagai program pembangunan PKS.

Aria yang mempunyai pengalaman lebih 18 tahun dalam bidang perbankan dan pelaburan berkata, pihaknya juga dijangka mengadakan kerjasama membabitkan teknologi serta bersama dalam menyelesaikan beberapa isu berkaitan segmen itu.

"Apa yang boleh kita perkatakan dalam hal ini, untuk SME Bank terus mara ke hadapan dalam industri perbankan dan membantu sektor keusahawanan tempatan adalah dengan memperuntukkan pelaburan dalam bakat serta teknologi," katanya.

Berita Harian X