Jumaat, 5 Oktober 2018 | 3:36pm

Perdagangan Jan-Ogos naik 6 peratus kepada RM1.23 trilion – MITI

KUALA LUMPUR: Perdagangan Malaysia bagi tempoh lapan bulan pertama 2018 berkembang sebanyak enam peratus kepada RM1.23 trilion berbanding tempoh yang sama 2017, kata Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI).

Dalam kenyataan hari ini, MITI berkata eksport meningkat 6.3 peratus kepada RM650.56 bilion, manakala import meningkat lebih perlahan sebanyak 5.6 peratus kepada RM580.11 bilion.

Lebihan dagangan bagi tempoh terbabit naik 11.9 peratus kepada RM70.45 bilion berbanding tempoh sama tahun lalu.

Secara bulanan, jumlah perdagangan pada Ogos 2018 naik 5.1 peratus daripada tahun sebelumnya mencecah RM162.01 bilion dengan perdagangan yang tinggi bersama China, Hong Kong, Taiwan, Arab Saudi, Korea Selatan, ASEAN, Amerika Syarikat dan Kesatuan Eropah (EU).

Eksport pada Ogos 2018 kekal melebihi paras RM80 bilion kepada RM81.81 bilion, iaitu pengurangan marginal sebanyak 0.3 peratus tahun ke tahun, manakala import merekodkan satu pencapaian baharu sebanyak RM80.2 bilion, meningkat 11.2 peratus tahun ke tahun.

“Ini membawa kepada penguncupan 83.7 peratus dalam lebihan dagangan kepada RM1.61 bilion,” kata MITI dan menambah lebihan dagangan tersebut adalah kali ke-250 bulan berturut-turut sejak November 1997.

Bagi perbandingan bulan ke bulan, import berkembang tiga peratus manakala jumlah dagangan, eksport dan lebihan dagangan masing-masing menyusut kepada 1.2 peratus, lima peratus dan 80.7 peratus.

Bagi prestasi sektor-sektor utama, eksport barangan perkilangan pada Ogos 2018 naik 1.8 peratus tahun ke tahun kepada RM68.5 bilion, merangkumi 83.7 peratus daripada jumlah eksport.

Peningkatan ini didorong terutamanya oleh kenaikan eksport barangan elektrik dan elektronik (E&E), kimia dan bahan kimia, barangan besi dan keluli, serta barangan optik dan saintifik.

Eksport hasil galian yang merangkumi 9.1 peratus daripada jumlah eksport, meningkat 5.1 peratus kepada RM7.47 bilion berikutan peningkatan eksport petroleum mentah, yang meningkat 90.1 peratus atau RM1.81 bilion, susulan peningkatan Nilai Unit Purata (AUV).

Eksport keluaran pertanian, yang merangkumi 6.5 peratus daripada jumlah eksport, menguncup 20.8 peratus kepada RM5.3 bilion.

“Ini berikutan pengurangan eksport minyak sawit dan keluaran pertanian berasaskan minyak sawit terutama minyak sawit yang menurun 26.8 peratus atau RM1.02 bilion. Ini disebabkan penurunan dalam kuantiti eksport serta AUV bagi minyak sawit,” kata kementerian itu.

Menurut MITI, perdagangan dengan ASEAN melibatkan 26.8 peratus daripada jumlah perdagangan Malaysia, meningkat 1.7 peratus tahun ke tahun kepada RM43.42 bilion, dengan eksport berjumlah RM23.16 bilion, naik 0.6 peratus berikutan eksport lebih tinggi bagi barangan E&E, petroleum mentah, barangan besi dan keluli serta barangan perkilangan logam.

Perdagangan Malaysia dengan China berkembang 13.7 peratus tahun ke tahun kepada RM28.7 bilion,dengan import naik 21.1 peratus kepada RM16.87 bilion.

Bagi perdagangan bersama Kesatuan Eropah pada Ogos 2018, ia berjumlah RM15.69 bilion atau 9.7 peratus daripada jumlah perdagangan, meningkat empat peratus tahun ke tahun.

Eksport ke EU berkurangan 8.9 peratus kepada RM7.64 bilion, disebabkan eksport lebih rendah bagi barangan E&E, minyak sawit dan keluaran pertanian, selain tekstil, pakaian dan kasut manakala import naik 20.1 peratus kepada RM8.05 bilion.

Antara 10 pasaran utama EU, eksport ke lima negara mencatatkan pertumbuhan iaitu Republik Czech (69.2 peratus), Perancis (9.9 peratus), Itali (7.4 peratus), Poland (19.1 peratus) dan Belgium (0.4 peratus).

-- BERNAMA

Berita Harian X