Rabu, 3 Oktober 2018 | 3:48pm
NAGUIB (kanan) dan Presiden Inacom, Andi Alisjahbana selepas menandatangani memorandum persefahaman (MoU), di Kuala Lumpur, hari ini. - NSTP/Supian Ahmad
NAGUIB (kanan) dan Presiden Inacom, Andi Alisjahbana selepas menandatangani memorandum persefahaman (MoU), di Kuala Lumpur, hari ini. - NSTP/Supian Ahmad

MAIA, Inacom bangun kepakaran aeroangkasa

KUALA LUMPUR: Pengeluar komponen pesawat Malaysia dan Indonesia menjalin kerjasama untuk meningkatkan pembangunan modal insan dalam usaha memperoleh lebih banyak kontrak dari gergasi industri seperti Airbus, Boeing dan Rolls Royce.

Presiden Persatuan Industri Aeroangkasa Malaysia (MAIA), Naguib Mohd Nor, berkata usaha sama itu dilaksanakan selepas MAIA dan Persatuan Pembuatan Komponen Pesawat Indonesia (Inacom) menandatangani satu memorandum persefahaman (MoU), hari ini.

“Malaysia dan Indonesia kini sedang meneroka pembangunan program pesawat di samping menjadi pengeluar komponen utama untuk syarikat pesawat komersial seperti Airbus dan Boeing,” katanya kepada pemberita pada majlis berkenaan.

Majlis menandatangani MoU yang disaksikan oleh wakil Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE), diadakan sempena penganjuran Konvensyen Perniagaan Aeroangkasa Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIABC) edisi ketiga, hari ini.

Sementara itu, eksport pembuatan aeroangkasa Malaysia diunjur meningkat kepada RM9 bilion untuk tahun ini berbanding RM8.49 bilion yang direkodkan tahun lalu.

“Kami jangka pertumbuhan eksport sekurang-kurangnya lima peratus daripada tahun lalu berikutan tempahan pembuatan komponen pesawat tahun ini meningkat,” kata Naguib.

Pada 2017, eksport aeroangkasa Malaysia melonjak 54 peratus kepada RM8.51 bilion daripada 2016, dengan eksport utama terdiri daripada komponen dan bahagian pesawat seperti sayap, ekor dan badan utama.

KLIABC 2018 selama tiga hari dianjurkan oleh MATRADE dengan kerjasama MAIA dan ABE France. Ia turut menerima penyertaan 150 organisasi industri aeroangkasa dari 21 negara.

Berita Harian X