Jumaat, 21 September 2018 | 6:07pm

CEPSI 2018 cetus banyak impak positif

KUALA LUMPUR: Persidangan Industri Bekalan Tenaga Elektrik (CEPSI) 2018 selama tiga hari yang melabuhkan tirainya pada Khamis, turut menyaksikan kalangan lebih 2,000 delegasi mengakhiri penyertaan mereka dengan membawa pulang pelbagai impak positif.

Paling ketara, mereka kini dapat menyelami perkembangan dialami industri bekalan elektrik (ESI), sejajar dengan tema CEPSI 2018 iaitu 'Re-imagining Utility of the Future' (Imaginasi Semula Utiliti Masa Depan) apabila ramai pemimpin sektor itu berkongsi pandangan mengenai transformasi yang bakal melanda segmen itu dalam tempoh 10 hingga 20 tahun akan datang.

Namun, tema yang ternyata mencetuskan pandangan ramai adalah 'idea' pemusatan atau penumpuan industri tenaga dan telekomunikasi berikutan persamaan ciri yang berteraskan jaringan atau rangkaian yang padat bagi kedua-dua segmen berkenaan.

Malah, beberapa penceramah pada persidangan itu berpendapat, kerjasama sedemikian sudah mula dilaksanakan di beberapa negara yang turut menguntungkan komuniti perniagaan.

Pada sesi utama 'ESI Innovation and Smart Solutions' (Inovasi ESO dan Penyelesaian Pintar), Pengarah Urusan Accenture Digital (ASEAN) James Chong dan Naib Presiden Segmen Tenaga Global Nokia Kamal Ballout berkongsi pandangan bahawa langkah menjalin pakatan atau kerjasama antara syarikat tenaga dan telekomunikasi (telco), merupakan pendekatan untuk terus mencatat kemajuan pada masa depan.

Chong dan Ballout juga berpendapat, syarikat tenaga dan telco sewajarnya meninjau bidang yang berpotensi menjana lebih banyak perniagaan menerusi kemudahan seperti 'Internet of Things' dengan penyedia khidmat lain.

Ini penting bagi memastikan sinergi kerjasama itu dapat diterjemah dalam bentuk manfaat lebih baik bagi pembangunan bandar serta penduduknya.

Ketua Pegawai Teknologi Huawei Technologies Co Ltd, Paul Scanlan berkongsi dengan peserta mengapa syarikat kuasa dan telekomunikasi akan lebih banyak berbincang untuk menentukan sinergi bagaimana membentuk kerjasama bagi manfaat pengguna pada masa depan.

Beliau menyimpulkan dengan memberi contoh kes pemasangan stesen asas telekomunikasi yang memerlukan input daripada syarikat telekomunikasi dan utiliti kuasa, dan jika kedua-duanya boleh bekerjsama, kos pemasangan akan turun dan seterusnya akan memberi manfaat kepada pengguna.

Justeru itu, kata Scanlan, banyak ruang bagi kedua-dua industri berangkaian berkenaan untuk saling bekerjasama dan diselaraskan oleh pengawal selia.

Dalam kes Tenaga Nasional Bhd (TNB), yang diarahkan kerajaan untuk meneroka kemungkinan menyertai industri telekomunikasi, beliau berkata ia memberi prospek perniagaan yang baik kerana syarikat utiliti itu telahpun mempunyai prasarana rangkaian kabel yang meluas.

Satu lagi bahagian positif bagi TNB, hos CEPSI 2018, adalah pemasangan meter pintar yang telah membantu banyak utiliti kuasa untuk memahami pelanggan mereka dengan lebih baik lagi dan memenuhi keperluan mereka.

Utiliti kuasa Tokyo Electric Power (TEPCO) dan Manila Electric Company (MERALCO) kedua-duanya telah membuktikan bahawa meter pintar adalah pilihan yang tepat bagi mereka sendiri dan pelanggan mereka.

Naib Presiden Eksekutif TEPCO Power Grid Inc, Dr Hiroshi Okamoto, berkata syarikat penjanaan dan pembahagian kuasa itu telah berjaya memasang 17 juta meter pintar bagi pelanggan kediamannya dengan menggunakan tiga teknologi berbeza, rangkaian 'mesh wireless' (frekuensi radio) rangkaian 'server' (tanpa wayar) dan komunikasi talian kuasa.

TNB juga sedang berusaha untuk memasang sebanyak 310,000 meter pintar di Melaka. ​​​​​​Projek yang dimulakan pada tahun ini, dijangka mencapai 8.8 juta pengguna di Semenanjung Malaysia.

Ketua Penasihat Teknologi MERALCO, Gavin D Barfield, berkata meter pintar ini mendapat sokongan kerana membolehkan pengguna yang amat mementingkan aspek perbelanjaan mereka, memantau penggunaan tenaga masing-masing.

Ketua Pegawai Eksekutif TNB Datuk Seri Ir Azman Mohd berkata firma utiliti kuasa itu akan bekerjasama dengan MyPower untuk menyumbang kepada pembaharuan itu dengan pengalaman luasnya dalam sektor tersebut.

“Perubahan dalam industri penjanaan elektrik di negara ini sememangnya dijangka dengan pelaksanaan MESI 2.0 dan TNB bersedia untuk menerima pembaharuan dalam industri memandangkan ia berubah dengan pesat hari ini berbanding 20 tahun lepas,” katanya.

Azman berkata TNB juga mahu mengubah salah faham bahawa kecekapannya itu adalah disebabkan kedudukan syarikat berkenaan sebagai monopoli di negara ini.

Melangkah ke hadapan, TNB juga maklum bahawa kerajaan tidak akan meneruskan tenaga nuklear sebagai pilihan tenaga, seperti mana yang dinyatakan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad, yang juga merupakan tetamu kehormat sewaktu TNB menjadi hos CEPSI pada 1996.

-BERNAMA

Berita Harian X