Selasa, 18 September 2018 | 3:56pm
Pengarah Pemasaran Industri, Tenaga Aspen Technology Inc (AspenTech), Ron Beck. - Foto Owee Ah Chun
Pengarah Pemasaran Industri, Tenaga Aspen Technology Inc (AspenTech), Ron Beck. - Foto Owee Ah Chun

Industri sumber tenaga, petrokimia perlu utamakan pendigitalan

noramahpar@nstp.com.my

KUALA LUMPUR: Permintaan yang tinggi dalam sumber tenaga dan industri petrokimia di negara kelas pertengahan seperti Malaysia menjadikan aspek tranformasi pendigitalan sangat penting supaya industri ini kekal berdaya maju dan terkehadapan.

Pengarah Pemasaran Industri, Tenaga Aspen Technology Inc (AspenTech), Ron Beck, berkata sebagai syarikat perisian pengoptimuman aset, pihaknya melihat pendigitalan adalah asas utama yang perlu dititikberatkan oleh semua syarikat dengan memaksimumkan nilai daripada teknologi terkini.

Katanya, tanpa perancangan yang bersepadu, perniagaan akan berdepan penyusutan pengeluaran antara dua hingga lima peratus dalam industri petrokimia dan memerlukan kos penyelenggaraan sehingga 10 kali ganda berbanding penyelenggaraan berjadual dan dirancang dalam industri pemprosesan.

“Malah, tanpa pendigitalan, industri pembuatan juga akan berdepan peningkatan kos buruh dan inventori antara lima hingga 10 peratus sekali gus mengurangkan prospek keuntungan.

“Ketika ini, industri petrokimia dan tenaga mempunyai peluang untuk diteroka membabitkan aspek pendigitalan kerana ia semakin berkembang dan mendapat permintaan tinggi dalam industri,” katanya dalam taklimat media bertajuk Tranformasi Digital Industri Tenaga: Apakah maknya kepada Malaysia? di sini, hari ini.

Beck berkata, pengoptimuman aset secara menyeluruh dijangka akan meningkatkan produktiviti antara 0.8 peratus hingga 1.4 peratus setiap tahun antara 2015 hingga 2065 berbanding 0.6 peratus menerusi penggunaan teknologi maklumat (IT) pada lewat 90-an hingga 2015.

“Pengoptimuman aset adalah pemacu utama kepada pertumbuhan produktiviti, memastikan keseluruhan kitaran perniagaan mencapai kecemerlangan operasi.

“Kami percaya, dengan mengoptimumkan prestasi aset dalam kompleks, persekitaran industri akan menjadikan syarikat itu lebih berdaya maju dan terbaik,” katanya.

Baru-baru ini, PETRONAS memilih perisian kejuruteraan, rantaian bekalan petroleum dan pengurusan aspenONE yang dibangunkan AspenTech bagi mengoptimumkan keuntungannya di kemudahan Pembangunan Bersepadu Penapisan Minyak dan Petrokimia (RAPID), Pengerang, Johor.

Berita Harian X