Selasa, 18 September 2018 | 2:14pm
MENTERI Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim (MESTECC), Yeo Bee Yin (tengah), semasa Pelancaran BMW Coupe i8, di Industri Bekalan Kuasa Elektrik (CEPSI) di KLCC. - Foto Mahzir Mat Isa

Kerajaan lancar MESI 2.0, mahu tingkat kecekapan industri elektrik

KUALA LUMPUR: Industri elektrik bakal mengalami transformasi menerusi pelaksanaan Pembaharuan Industri Bekalan Elektrik Malysia (MESI) 2.0 yang bertujuan meningkatkan kecekapan industri dan tenaga.

Menteri Tenaga, Teknologi, Sains, Perubahan Iklim dan Alam Sekitar, Yeo Bee Yin, berkata sehubungan itu, bagi melancarkan pelaksanaan pembaharuan berkenaan, pihaknya akan mengaktifkan semula agensi tujuan khas, MyPOWER Corporation bagi menggerak dan melaksanakan inisiatif berkenaan.

Katanya, agensi yang akan dianggotai antara 10-20 pakar industri tenaga itu hanya akan beroperasi selama 36 bulan untuk melaksanakan transformasi berkenaan sebelum ia ditutup selepas tempoh itu berakhir.

“Kerajaan akan bertindak sebagai pemacu, namun penggerak utama transformasi ini ialah pakar dan profesional tempatan. Banyak pertemuan dan perbincangan akan diadakan bersama pemegang kepentingan bagi membantu kerajaan melaksanakan perkara ini.

“Menerusi MESI 2.0 ini, kita menyasar untuk mencapai tiga objektif iaitu mahu meningkatkan kecekapan industri, mengawalselia struktur industri, peraturan dan proses-proses utama serta memperkasakan pengguna.

“Selepas berakhir pembaharuan ini, kita menjangkakan struktur pasaran akan menjadi lebih telus dan cekap serta kos tarif yang lebih mengikut keadaan pasaran,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas pelancaran Persidangan Industri Bekalan Tenaga Elektrik 2018 (CEPSI 2018), di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur, di sini hari ini.

Yang turut hadir Pengerusi TNB, Tan Sri Leo Moggie dan Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif TNB, Datuk Seri Azman Mohd.

Persidangan industri bekalan tenaga dan elektrik terbesar dianjurkan di Malaysia itu disertai 2,000 delegasi yang bermula hari ini hingga Khamis.

Di samping itu, kira-kira 4,500 pelawat dijangka mengunjungi pelbagai gerai yang disediakan oleh lebih 100 pempamer di pameran khusus yang diadakan sempena CEPSI 2018 bertempat di Pusat Konvensyen KL.

Dengan tema Reimagining Utility of the Future, persidangan itu dihoskan Tenaga Nasional Bhd (TNB) bagi pihak Persatuan Industri Bekalan Elektrik Asia Timur dan Pasifik Barat (AESIEAP).

CEPSI 2018 mengumpulkan pemimpin utama industri dari seluruh dunia untuk melihat beberapa isu penting industri seperti cabaran, strategi, kemampanan, teknologi dan masa depan yang berkaitan dengan tenaga.

CEPSI dihoskan sekali setiap dua tahun adalah untuk peserta tenaga di Asia Timur dan Pasifik Barat membincangkan isu tenaga.Mengulas lanjut Bee Yin berkata, beliu memberi jaminan yang harga tarif tidak akan meningkat apabila MESI 2.0 dilaksanakan.

“Ini kerana harga tarif ketika ini sering berubah-ubah kerana ia sangat bergantung kepada harga bahan api global,” katanya.

Berita Harian X