Isnin, 17 September 2018 | 4:02pm

2,000 delegasi dijangka hadir di CEPSI 2018

KUALA LUMPUR: Hampir 2,000 delegasi dijangka menghadiri Persidangan Industri Bekalan Tenaga Elektrik 2018 (CEPSI 2018), persidangan industri bekalan tenaga dan elektrik terbesar dianjurkan di Malaysia bermula esok hingga Khamis.

Di samping itu, kira-kira 4,500 pelawat dijangka mengunjungi pelbagai gerai yang disediakan oleh lebih 100 pempamer di pameran khusus yang diadakan sempena CEPSI 2018 bertempat di Pusat Konvensyen KL.

Dengan tema "Reimagining Utility of the Future", persidangan itu dihoskan Tenaga Nasional Bhd (TNB) bagi pihak Persatuan Industri Bekalan Elektrik Asia Timur dan Pasifik Barat (AESIEAP).

CEPSI 2018 mengumpulkan pemimpin utama industri dari seluruh dunia untuk melihat beberapa isu penting industri seperti cabaran, strategi, kemampanan, teknologi dan masa depan yang berkaitan dengan tenaga.

CEPSI dihoskan sekali setiap dua tahun adalah untuk peserta tenaga di Asia Timur dan Pasifik Barat membincangkan isu tenaga.

Sejak penubuhannya pada 1976 di Hong Kong, CEPSI berkembang sebagai titik pertemuan utama antarabangsa untuk syarikat industri tenaga, pemimpin utiliti, profesional industri dan pakar dari seluruh dunia untuk bertukar idea dan belajar dari satu sama lain.

Acara tahun ini akan menjadi persidangan utiliti tenaga terbesar bagi Malaysia kerana CEPSI sering dianggap sebagai acara wajib menghadiri untuk ketua pegawai eksekutif (CEO), eksekutif kanan, jurutera, pegawai kerajaan dan pakar dalam sektor elektrik dan tenaga.

Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, yang mana adalah tetamu kehormat apabila Malaysia/TNB yang menjadi tuan rumah CEPSI pada 1996, akan menyampaikan ucapan khas pada edisi tahunan ke-22 CEPSI.

Presiden AESIEP 2017/2018 dan Presiden/Ketua Pegawai Eksekutif TNB, Datuk Seri Ir Azman Mohd, akan menyampaikan ucapan aluan sebelum Menteri Tenaga, Teknologi, Sains, Perubahan Iklim dan Alam Sekitar, Yeo Bee Yin menyampaikan ucaptama pada pembukaan persidangan dan mengumumkan pembukaan pameran kemudiannya.

Pada masa sama, mesyuarat ke-44 AESIEAP dan Perhimpunan Agung Jawatankuasa Eksekutifnya akan diadakan pada CEPSI 2018.

Seramai 17 pemimpin pemikir dijemput bagi berkongsi pendapat dan pengetahuan mereka mengenai isu tenaga serta membincangkan amalan terbaik bagi isu penting seperti trend dan peralihan global, utiliti masa depan, kelestarian, inovasi, digitalisasi, megatrend, serta masa depan yang lebih pintar bagi industri bekalan elektrik (ESI).

Antara pakar dan pemimpin pemikir ialah Rakan Kongsi Kanan McKinsey & Company, Dr Jonathan Woetzel; Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Siemens Malaysia, Indranil Lahiri; Ketua Pembangunan Perniagaan dan Pertumbuhan Tesla Energy, Lara Olsen; Pengarah Urusan Global Tenaga, Alam Sekitar dan Industri Utiliti IBM Energy, Brad Gammons; Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Sarawak Energy Bhd, Sharbini Suhaili; Ketua Pengurusan Produk BMW i, BMW Group, Dr Alexander Kotouc; Ketua Ekonomi dan Pengarah Urusan Institute of Energy Economics Japan (IEEJ), Ken Koyama dan Naib Presiden Kanan Kumpulan, Bahagian Grid Kuasa ABB Group Asia Selatan, Asia Barat dan Afrika, Venu Nuguri.

Berita Harian X