Khamis, 13 September 2018 | 2:54pm

Harga minyak turun

SINGAPURA: Harga minyak turun, menyongsang kenaikan kukuh sesi sebelumnya, susulan kebimbangan ekonomi berhubung pertumbuhan permintaan terhadap bahan api itu.

Dagangan hadapan West Texas Intermediate (WTI) berada pada AS$69.91 satu tong pada 0455 GMT, susut 46 cent, atau 0.7 peratus, daripada penutup sebelumnya.

Dagangan hadapan Brent susut 43 cent, atau 0.5 peratus, kepada AS$79.33 satu tong.

Penyusutan itu disebabkan jangkaan pertumbuhan permintaan lemah terhadap bahan api susulan sengketa perdagangan antara Amerika Syarikat (AS) dan China selain ketidaktentuan pasaran di negara membangun.

Syarikat AS di China terkesan daripada tarif yang dikenakan susulan perang perdagangan antara Washington dan Beijing, demikian menurut kaji selidik ke atas ratusan syarikat, mendorong lobi perniagaan AS untuk mendesak pentadbiran Trump menimbang semula pendekatan yang diambil beliau.

Pentadbiran Trump menjemput pegawai dari China untuk memulakan semula rundingan perdagangan, ketika mana Washington bersiap sedia untuk meningkatkan lagi perang perdagangan AS-China dengan tarif bernilai AS$200 bilion ke atas import China.

Benjamin Lu dari firma pembrokeran Phillip Futures di Singapura dalam satu nota berkata, persengketaan perdagangan Sino-Amerika menyebabkan ketidaktentuan kepada prospek pertumbuhan ekonomi dan permintaan terhadap minyak.

Pertubuhan Negara-negara Pengeksport Petroleum (OPEC) semalam mengurangkan ramalan bagi pertumbuhan permintaan 2019, menyebut faktor risiko ekonomi.

Dalam laporan bulanannya, OPEC berkata permintaan minyak dunia tahun depan dijangka meningkat sebanyak 1.41 juta tong sehari, iaitu 20,000 tong sehari lebih rendah berbanding bulan lalu dan pengurangan kedua berturut-turut dalam ramalannya.

Pengeluaran minyak mentah AS susut sebanyak 100,000 tong sehari, kepada 10.9 juta tong sehari, berikutan industri berhadapan kekangan keupayaan saluran minyak. - Reuters

Berita Harian X