Jumaat, 7 September 2018 | 3:28pm
PENGERUSI Industri Elektronik Amerika Malaysia (MAEI) Datuk Wong Siew Hai. - Foto Owee Ah Chun

Sumbangan firma E&E AS terus mengukuh

KUALA LUMPUR: Sumbangan syarikat elektrik dan elektronik (E&E) Amerika Syarikat (AS) kepada ekonomi Malaysia telah meningkat sejak 2014, menurut kajian yang dijalankan oleh Dewan Perdagangan Amerika Syarikat (Amcham).

Dalam satu kenyataan hari ini, Amcham berkata 31 syarikat anggota yang memberi maklumat balas terhadap kaji selidik itu, bertanggungjawab mewujudkan 80,000 pekerjaan, dengan sebahagian besarnya dipegang oleh rakyat Malaysia.

"Daripada jumlah itu, 16,500 terdiri daripada jurutera mahir dan lebih daripada 5,500 pekerja khusus untuk aktiviti penyelidikan, reka bentuk dan pembangunan bernilai tinggi," katanya.

Pengarah Eksekutif Amcham Siobhan M Das berkata anggota E&E secara konsisten menyokong pertumbuhan dan pembangunan perusahaan kecil dan sederhana Malaysia.

"Rata-rata, setiap ahli dalam kaji selidik itu bekerja dengan 194 pembekal, mengira kontrak bernilai sekurang-kurangnya RM100,000 setahun.

"Lebih RM12 bilion dibelanjakan untuk penyumberan barangan dan perkhidmatan tempatan pada tahun lepas. Selain itu, hampir semua syarikat yang ditinjau mempunyai program tanggungjawab sosial korporat yang aktif dengan setiap syarikat menyumbang sehingga RM650,000 setahun atau 150,000 jam sukarelawan kepada program komuniti tempatan," katanya.

Sementara itu, Pengerusi Industri Elektronik Amerika Malaysia (MAEI) Datuk Wong Siew Hai berkata pertumbuhan industri E&E didorong oleh kerjasama yang kukuh antara sektor awam dan swasta.

"Kami memberi tumpuan aktif untuk terlibat dengan pihak berkepentingan kerajaan, terutama dengan Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri dan Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia, serta pembabitan langsung dengan Majlis Strategik Elektrik dan Elektronik sejak 2016.

"Syarikat-syarikat Amerika membantu memacu banyak inisiatif yang membawa kami ke pasaran yang cergas ini pada 2018," kata Siew Hai.

MAEI ialah jawatankuasa kecil industri E&E Amcham.

-BERNAMA

Berita Harian X