Jumaat, 7 September 2018 | 3:20pm
PELANGGAN membeli barang-barang keperluan harian dan dapur di Pasaraya Econsave Kluang. - Foto Adnan Ibrahim

Jualan dagang, runcit bertambah

KUALA LUMPUR: Nilai jualan perdagangan borong dan runcit Malaysia pada Julai 2018 meningkat 10.3 peratus tahun ke tahun kepada RM106.5 bilion, kata Jabatan Perangkaan.

Ketua Perangkawan Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata pertumbuhan berkenaan dipacu oleh pengembangan kukuh dalam perdagangan runcit yang tumbuh 13.3 peratus dalam tempoh yang sama.

Beliau berkata jualan bagi kenderaan bermotor juga terus mencatatkan pertumbuhan dua digit daripada 10.1 peratus pada Jun 2018 kepada 12.1 peratus.

“Peningkatan ini merupakan yang tertinggi diperoleh kenderaan bermotor sejak Jun 2014 iaitu 12.3 peratus.

“Pertumbuhan kukuh dalam nilai jualan ini dipacu peningkatan jualan kenderaan bermotor susulan penurunan harga kereta disebabkan pelaksanaan cukai berkadar sifar,” kata Mohd Uzir dalam laporan bertajuk ‘ Prestasi Malaysia Dalam Perdagangan Borong dan Runcit, Julai 2018 yang dikeluarkan hari ini.

Bagi bulan ke bulan, beliau berkata nilai jualan meningkat 0.3 peratus, terutama bagi kenderaan bermotor dan perdagangan runcit yang masing-masing mencatat pertumbuhan 6.5 peratus dan 1.7 peratus, manakala perdagangan borong merekodkan pertumbuhan negatif 2.5 peratus berbanding Jun 2018.

Bagi indeks jumlah perdagangan borong dan runcit, jabatan itu memaklumkan peningkatan 9.6 peratus kepada 172.9 mata berbanding Julai 2017.

“Pertumbuhan ini disokong pengukuhan dalam perdagangan runcit dan kenderaan bermotor, masing-masing pada 12 peratus dan 11.7 peratus.

“Dalam bulan yang sama, indeks volum pelarasan musim perdagangan borong dan runcit turut meningkat perlahan pada 1.3 peratus berbanding bulan sebelumnya,” katanya.

-BERNAMA

Berita Harian X