Rabu, 5 September 2018 | 12:49pm

Malaysia rekod eksport bulanan tertinggi pada Julai

KUALA LUMPUR: Malaysia mencatat eksport tertinggi yang pernah direkodkan iaitu sebanyak RM86.12 bilion pada Julai, peningkatan sebanyak 9.8 peratus berbanding bulan yang sama tahun lalu kepada RM163.95 bilion.

Perkembangan itu disokong oleh peningkatan perdagangan dengan China, Hong Kong, Taiwan, ASEAN, India dan Arab Saudi.

Dalam satu laporan yang dikeluarkan Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) berkata bagi tujuh bulan pertama tahun ini, jumlah perdagangan berkembang 6.1 peratus kepada RM1.069 trilion berbanding tempoh yang sama tahun lalu.

Menurutnya, eksport meningkat pada kadar 7.3 peratus kepada RM568.72 bilion manakala import tumbuh pada kadar yang lebih perlahan iaitu sebanyak 4.8 peratus kepada RM499.91 bilion.

“Lebihan dagangan bagi tempoh ini melonjak 29.7 peratus kepada RM68.81 bilion berbanding tempoh yang sama tahun lalu. Dalam tempoh dikaji, eksport barangan perkilangan terus menunjukkan prestasi memberangsangkan dengan mengekalkan pertumbuhan dua digit bagi bulan kedua berturut-turut, naik 12.6 peratus tahun ke tahun kepada RM72.82 bilion.

“Eksport barangan perkilangan yang merangkumi 84.6 peratus daripada jumlah eksport Malaysia dan peningkatan ini didorong terutamanya oleh kenaikan eksport barangan elektrik dan elektronik (E&E), kimia dan bahan kimia serta barangan perkilangan logam.

“Daripada jumlah itu, eksport barangan E&E bernilai RM34.5 bilion, merangkumi 40.1 peratus daripada jumlah eksport dan ia meningkat 23.6 peratus berbanding Julai 2017; eksport keluaran petroleum bernilai RM6.17 bilion (7.2 peratus daripada jumlah eksport, turun 13 peratus); eksport kimia dan bahan kimia dengan nilai RM4.79 bilion (5.6 peratus daripada jumlah eksport, bertambah 19.3 peratus) dan petroleum mentah dengan nilai RM3.82 bilion (4.4 peratus daripada jumlah eksport, berkembang 90.1 peratus),” kata laporan berkenaan.

Sementara itu, perdagangan antara Malaysia dan China pada Julai lalu turut mencatat pertumbuhan sebanyak 19.4 peratus tahun ke tahun kepada RM28.31 bilion.

Menurut Kementerian, perdagangan dengan China merangkumi 17.3 peratus daripada keseluruhan perdagangan negara.

“Eksport ke China kekal kukuh dan merekodkan jumlah eksport bulanan tertinggi iaitu RM12.92 bilion, peningkatan sebanyak 37.5 peratus berbanding bulan yang sama tahun lalu.

“Ini adalah berikutan eksport yang lebih tinggi bagi barangan E&E, kimia dan bahan kimia, LNG, keluaran petroleum dan petroleum mentah. Import dari China juga meningkat sebanyak 7.5 peratus kepada RM15.39 bilion,” katanya.

Berita Harian X