Selasa, 28 Ogos 2018 | 3:41pm
PENGERUSI PIKOM, Ganesh Kumar Bangah (dua dari kanan) melancarkan #MYCYBERSALE 2018 di Pusat Konvensyen Sime Darby.Turut hadir, Timbalan Setiausaha Bahagian Teknologi Maklumat, Ahmad Norhad Zahari (dua dari kiri) Naib Pengerusi PIKOM, Danny Lee (kanan) dan Lembaga Pengarah Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC), Datuk Mathialakan Chelliah (kiri). - Foto BERNAMA
PENGERUSI PIKOM, Ganesh Kumar Bangah (dua dari kanan) melancarkan #MYCYBERSALE 2018 di Pusat Konvensyen Sime Darby.Turut hadir, Timbalan Setiausaha Bahagian Teknologi Maklumat, Ahmad Norhad Zahari (dua dari kiri) Naib Pengerusi PIKOM, Danny Lee (kanan) dan Lembaga Pengarah Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC), Datuk Mathialakan Chelliah (kiri). - Foto BERNAMA

Pikom rancang anjur #Mycybersale Asean

KUALA LUMPUR: Persatuan ICT Kebangsaan Malaysia (PIKOM), berhasrat untuk menganjurkan #Mycybersale di peringkat Asia Tenggara yang dikenali sebagai #Mycybersale Asean dalam tempoh lima tahun akan datang.

Pengerusi PIKOM, Ganesh Kumar Bangah, berkata prospek meluas dalam sektor e-dagang berupaya merangsang pertumbuhan serta promosi bagi produk yang dihasilkan oleh usahawan di rantau ini.

Katanya, setakat ini PIKOM sudah bertemu dan berbincang dengan beberapa persatuan yang mempunyai peranan sepertinya di negara jiran mengenai hal ini.

"Sejak pertama kali dilaksanakan pada 2014, #Mycybersale mendapat perhatian luar biasa dan ia terbukti menjadi platform yang hebat bagi peniaga Malaysia.

"Malah, karnival seumpama ini juga mempunyai peranan pentint yang menjadi sebahagian daripada ekosistem yang menyumbang kepada pendapatan e-dagang domestik dan eksport.

"Apabila kita menganjurkan #Mycybersale di peringkat Asean dan disertai oleh negara lain di rantau ini, ia mampu mewujudkan karnival jualan e-dagang yang mantap di rantau ini," katanya pada sidang media selepas majlis pelancaran #Mycybersale 2018 di sini, hari ini.

#Mycybersale 2018 siri kelima yang bermula 3 September hingga 7 September depan dijangka menjana nilai dagangan kasar (GMV) sebanyak RM370 juta berbanding RM311 juta yang dicatat pada 2017.

Selain itu, PIKOM yang juga penganjur karnival itu turut mengunjurkan hasil pendapatan eksport tahun ini dijangka melonjak kepada RM50 juta daripada RM39 juta tahun lalu.

#Mycybersale sebelum ini menjadi platform bagi festival jualan atas talian yang semakin kukuh dan berjaya merekodkan GMV berjumlah RM67 juta pada 2014, RM117.7 juta (2015), RM211 juta (2016) dan RM311 juta (2017).

Ganesh berkata, penganjuran pada tahun ini juga menyaksikan peningkatan pedagang kepada 1,215 penyertaan yang terdiri daripada kumpulan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) serta jenama antarabangsa yang lain.

Katanya, daripada jumlah terbabit, 70 peratus adalah PKS sekali gus membuktikan ia platform tepat kepada golongan berkenaan memasarkan produk dengan lebih meluas dan strategik lagi.

"Pihak kami turut menjangkakan karnival ini dapat mencapai lebih 14 juta orang ramai yang berpotensi untuk membeli-belah di platform berkenaan dalam tempoh lima hari ini," katanya.

Berita Harian X