Jumaat, 24 Ogos 2018 | 12:28pm
KETUA Perangkawan Jabatan Perangkaan Malaysia, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin. - Foto Rohanis Shukri
KETUA Perangkawan Jabatan Perangkaan Malaysia, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin. - Foto Rohanis Shukri

IHP Julai 2018 meningkat 0.9 peratus kepada 119.8

KUALA LUMPUR: Indeks Harga Pengguna (IHP) Malaysia, yang mengukur inflasi teras, meningkat 0.9 peratus tahun ke tahun kepada 119.8 pada Julai 2018.

Dalam kenyataan hari ini, Ketua Perangkawan Jabatan Perangkaan Malaysia, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin, berkata peningkatan indeks secara keseluruhan disebabkan oleh peningkatan harga pengangkutan (+6.7 peratus), perumahan, air, bekalan elektrik, gas dan bahan api lain (+2.0 peratus), pendidikan (+1.0 peratus), restoran dan hotel (+1.0 peratus) dan makanan serta minuman bukan alkohol (+0.7 peratus).

“Berasaskan perbandingan bulanan, IHP meningkat 0.2 peratus berbanding Jun 2018. IHP bagi tempoh Januari-Julai 2018 mencatatkan peningkatan 1.4 peratus berbanding tempoh yang sama tahun lepas,” katanya.

Dari segi IHP secara keseluruhan, empat negeri melepasi kadar IHP nasional 0.9 peratus pada Julai 2017, iaitu Negeri Sembilan (+1.3 peratus), Selangor dan Wilayah Persekutuan (FT) Putrajaya (+1.2 peratus), FT Kuala Lumpur (+1.1 peratus) dan Johor (+1.0 peratus).

Sementara itu, kenaikan lebih tinggi indeks kumpulan makanan dan minuman bukan alkohol direkodkan di kebanyakan negeri, dengan dua negeri mencatat indeks melepasi paras nasional (+0.7 peratus) pada Julai 2018 iaitu FT Kuala Lumpur (+3.5 Peratus) dan Sarawak (+0.9 peratus). - BERNAMA

Berita Harian X