Isnin, 13 Ogos 2018 | 11:11am

150 syarikat pamer teknologi maju di CEPSI 2018

KUALA LUMPUR: Sebanyak 150 syarikat akan mempamerkan teknologi terkini, produk dan perkhidmatan mereka di Persidangan Industri Bekalan Tenaga Elektrik 2018 (CEPSI 2018) kali ke-22 yang bakal berlangsung bulan depan.

CEPSI 2018 adalah persidangan dan pameran berkaitan industri bekalan tenaga elektrik terkemuka di rantau Asia Timur dan Pasifik Barat yang dihoskan oleh Tenaga Nasional Bhd (TNB).

Ketua Pegawai Korporat TNB yang juga Setiausaha Agung Persatuan Industri Bekalan Elektrik Asia Timur dan Pasifik Barat (AESIEAP) 2017/2018, Datuk Wira Roslan Ab Rahman, berkata separuh daripada pempamer yang mengambil bahagian adalah syarikat tempatan yang terbabit dalam industri bekalan elektrik.

“Selebihnya pula adalah pempamer antarabangsa termasuk dari China, Jepun, Singapura, Indonesia, Australia, Perancis, Jerman, India, Ireland dan juga Korea Selatan.

“Kami turut menjangkakan kunjungan lebih 6,000 pengunjung sepanjang tiga hari pameran itu berlangsung. Mereka terdiri daripada 1,500 delegasi dan 4,500 pengunjung dagang dan mereka dijangka mengambil manfaat daripada pameran berkenaan dan menjadikannya sebagai platform pemadanan perniagaan,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Pameran CEPSI 2018 akan berlangsung daripada 18 hingga 20 September depan di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur.

Mengulas lanjut, Roslan berkata CEPSI 2018 juga akan menjadi ruang bagi syarikat terbabit untuk meningkatkan kesedaran mengenai jenama syarikat mereka.

“Di samping itu, mereka juga boleh memasarkan produk dan perkhidmatan yang disediakan serta mencari rakan perniagaan yang berpotensi,” katanya.

Kali terakhir TNB menjadi hos bagi pameran berkenaan adalah pada tahun 1996.

Sejak penubuhannya pada 1976 di Hong Kong, CEPSI telah berkembang menjadi satu medan pertemuan antarabangsa yang utama bagi syarikat dalam industri tenaga, pemimpin syarikat utiliti, profesional dalam industri dan juga pakar dari seluruh dunia untuk bertukar idea dan saling belajar dari pengalaman masing-masing.

Tahun ini, dengan tema “Imaginasi Semula Utiliti Masa Depan”, CEPSI 2018 akan memberi tumpuan kepada senario semasa bagaimana industri bekalan elektrik berubah sebagai tindak balas kepada kemunculan dan penumpuan gangguan teknologi, perubahan ekonomi, perkembangan kelestarian dan keperluan pengawalseliaan.

Syarikat yang berminat untuk menyertai CEPSI 2018 sebagai pempamer boleh menghubungi penganjur menerusi e-mel exhibition@cepsi2018kl.org atau lawati laman web rasmi www.cepsi2018kl.org.

Berita Harian X