Ahad, 5 Ogos 2018 | 7:48pm

14 pakar berhimpun di CEPSI 2018

KUALA LUMPUR: Persidangan Industri Bekalan Tenaga Elektrik (CEPSI) 2018 oleh Tenaga Nasional Bhd (TNB) di sini bulan depan akan menghimpunkan 14 tokoh pemikir yang akan berkongsi pengetahuan luas mereka berkaitan industri elektrik.

Dalam kenyataan, TNB berkata kesemua pakar itu, antara lain, akan membincangkan dan berkongsi amalan terbaik dalam topik utama seperti aliran dan perubahan dunia, utiliti masa depan, kelestarian, inovasi, pendigitalan, aliran mega serta masa depan pintar bagi industri itu.

Mereka ialah Ketua Pakar Ekonomi dan Pengarah Urusan Institut Ekonomi Tenaga Jepun (IEEJ), Ken Koyama; Pengurus Serantau Pembangunan Perniagaan Tesla Energy Asia Pacific, Lara Olsen; dan Naib Presiden Eksekutif TEPCO Power Grid Inc, Dr. Hiroshi Okamoto.

Rakan Kongsi Kanan McKinsey & Company, Dr. Jonathan Woetzel; Ketua Pengurusan Produk BMWi, Dr. Alexander Kotouc; dan Naib Presiden Kumpulan Kanan Bahagian Grid Kuasa Asia Selatan, Asia Barat dan Afrika ABB Group, Venu Nuguri; dan Ketua Pegawai Teknologi Huawei Technologies Co. Ltd, Paul Scanlan juga akan bersama-sama kumpulan pemikir itu.

Tokoh lain termasuk Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Siemens Malaysia, Indranil Lahiri dan CEO Kumpulan Sarawak Energy, Sharbini Suhaili.

TNB menganjurkan acara dwi-tahunan itu bagi pihak Persatuan Industri Bekalan Elektrik Asia Timur dan Pasifik Barat (AESIEAP).

Kali terakhir TNB mengadakan CEPSI adalah pada 1996.

Lebih 1,500 anggota delegasi, pemimpin industri, eksekutif kanan, pegawai kerajaan dan profesional dari Asia Timur, Pasifik Barat serta rantau lain di dunia dijangkakan menghadiri CEPSI edisi ke-22 itu.

Persidangan bertema "Reimagining Utility of the Future" akan berlangsung di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur di sini mulai 17 hingga 22 September 2018.

Berita Harian X