Jumaat, 3 Ogos 2018 | 5:20pm

MIJF sasar lebih 15,000 pengunjung

KUALA LUMPUR: Pameran Barang Kemas Antarabangsa Malaysia (MIJF) menyasarkan kehadiran lebih 15,000 pengunjung terdiri daripada pembeli berkualiti dan orang ramai pada edisi penganjurannya kali ke-15 tahun ini.

MIJF yang berlangsung di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur itu akan mempamerkan lebih 100,000 barangan kemas bermutu tinggi dan mewah dari lebih 100 jenama.

Pameran tahunan anjuran Elite Expo Sdn Bhd (Elite Expo) itu disertai oleh pempamer dari 13 negara termasuk Malaysia, Hong Kong, Singapura, Thailand, Itali, Iran, India dan Jepun.

Ketua Eksekutif Elite Expo, Johnson Lim Eng Hoong, berkata menerusi penganjuran MIJF, pihaknya berharap dapat mengukuhkan kedudukan Malaysia sebagai peneraju dagangan barang kemas yang memenuhi standard global.

"Di samping itu, pameran ini juga boleh menyumbang kepada usaha mempromosikan negara sebagai hab barangan kemas yang terbaik di mata dunia," katanya pada majlis pelancaran pameran berkenaan di sini, hari ini.

MIJF yang bermula hari ini akan berlangsung selama empat hari sehingga 6 Ogos ini.

Ia dirasmikan oleh Tunku Dara Tunku Tan Sri Naquiah Almarhum Tuanku Ja'afar. Hadir sama pada majlis itu adalah Pengarah Unit Gaya Hidup Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE), Abu Bakar Yusof.

Mengulas lanjut, Johnson Lim berkata berikutan maklum balas memberangsangkan yang diterima pada tahun lalu, MIJF sekali lagi akan bekerjasama dengan Gemological Institute of America (GIA) untuk mengendalikan seminar bertajuk "Warna dan Mutiara".

"Seminar itu bertujuan untuk berkongsi maklumat mengenai perbezaan warna mutiara dan maklumat lanjut di sebalik warna asalnya," katanya.

INFO

* MIJF turut disokong oleh MATRADE dan Lembaga Promosi Pelancongan Malaysia

Berita Harian X