Rabu, 1 Ogos 2018 | 11:54am
DR Ong Kian Ming. - Foto Zunnur Al Shafiq
DR Ong Kian Ming. - Foto Zunnur Al Shafiq

Perang dagangan AS-China beri kesan minimum di Malaysia

KUALA LUMPUR: Kesan perang perdagangan di antara Amerika Syarikat (AS) dan China terhadap Malaysia setakat ini adalah minimum berdasarkan pusingan awal tarif yang dikenakan oleh kedua-dua negara berkenaan, kata Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI), Dr Ong Kian Ming.

Namun, katanya, kerajaan sangat memandang berat terhadap isu itu dan kementerian telah menubuhkan satu pasukan petugas terdiri daripada pelbagai pihak berkepentingan dan agensi termasuk Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE) dan Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) bagi memantau situasi terbabit.

"Kita memantau situasi ini dengan sangat rapat setiap hari dan minggu. Saya menerima perkembangan mingguan daripada pasukan petugas ini mengenai impak daripada perang perdagangan ini.

"Setakat ini impaknya dilihat minimum namun kerajaan akan terus memantau situasi dengan rapat selepas ini," katanya pada sidang media selepas merasmikan seminar pemahaman Sistem Pengesanan China Certification & Inspection (CCIC) kepada pengeksport tempatan di Menara MATRADE di sini, hari ini.

Hadir sama ialah Ketua Pegawai Eksekutif MATRADE, Dr Mohd Shahreen Zainoreen Madros dan Ketua Pegawai Eksekutif CCIC Malaysia, Fujun.

Pasukan petugas yang ditubuhkan MITI itu adalah sebagai usaha memantau dan menilai perkembangan konflik dagangan membabitkan AS dan China.

Ia juga akan merangka strategi bagi meringankan impak daripada perlindungan perdagangan terbabit selain memantau dan menyelaraskan maklum balas daripada pelbagai pemegang kepentingan terhadap peningkatan konflik perdagangan AS-China.

Mengenai sistem pengesanan CCIC, Kian Ming berkata, sistem itu bertujuan memastikan produk Malaysia yang memasuki pasaran China dilindungi daripada produk tiruan lain.

Katanya, kod QR yang dicetak pada setiap produk boleh diimbas oleh pengguna di China bagi mengetahui sama ada sesebuah produk itu adalah tulen atau sebaliknya.

"Ketika ini, baru empat syarikat tempatan yang mengguna pakai teknologi ini ke dalam produk mereka dan kita berharap akan lebih ramai syarikat tempatan lain turut mengikut jejak sama pada masa akan datang.

"Ini kerana kita percaya dan yakin penggunaan sistem baharu yang diperkenalkan CCIC ini akan bukan saja membolehkan syarikat mengeksport lebih banyak barang mereka ke China dengan lebih berkesan, malah turut melindungi hak cipta produk masing-masing," katanya.

Sementara itu Fujun berkata, ketika ini sistem baharu ini digunakan kepada produk makanan terlebih dulu kerana membabitkan keselamatan.

"Ini kerana produk makanan yang ingin dieksport ke China perlu melalui banyak ujian dan sistem ini boleh mempercepatkan kelulusan ujian ini dan pada masa sama memudahkan pengguna di China untuk mengetahui makanan yang dijual adalah produk yang tulen," katanya.

Berita Harian X