Isnin, 30 Julai 2018 | 1:20pm
PRESIDEN Persatuan Automotif Malaysia (MAA), Datuk Aishah Ahmad ketika ditemui selepas mengadakan pertemuan dengan Majlis Penasihat Kerajaan di Kuala Lumpur, hari ini. - Foto BERNAMA
PRESIDEN Persatuan Automotif Malaysia (MAA), Datuk Aishah Ahmad ketika ditemui selepas mengadakan pertemuan dengan Majlis Penasihat Kerajaan di Kuala Lumpur, hari ini. - Foto BERNAMA

Sekatan kenderaan asing jejas sektor automotif - MAA

KUALA LUMPUR: Rancangan terbaharu kerajaan untuk meletakkan syarat tertentu ke atas kemasukan pembuat kereta asing akan membantutkan industri automotif negara, kata Presiden Persatuan Automotif Malaysia (MAA), Datuk Aishah Ahmad.

Beliau berkata usaha kerajaan untuk melindungi kepentingan pembuat dan pengeluar kereta nasional, Proton Holdings Bhd (PROTON) dan Perusahaan Automobil Kedua Sdn Bhd (PERODUA) dianggap langkah regresif bagi industri automotif tempatan.

"Sekatan adalah langkah regresif bagi pasaran kereta. Saya tidak fikir ia adalah masa yang tepat bagi kerajaan menghentikan kemasukan pembuat kereta asing untuk masuk ke negara ini.

"Langkah liberalisasi pasaran adalah cara terbaik bagi industri automotif. Jika kita mahu wujudkan industri automotif yang kondusif kita perlu menjadikannya ke arah liberasasi untuk menjadikan pasaran lebih berkembang.

"Contohnya seperti Thailand dan Indonesia yang mempunyai pasaran automotif sangat terbuka. Dari situ, ia menjadikan industri berkembang dengan sepenuhnya," katanya ketika ditemui selepas mengadakan pertemuan dengan Majlis Penasihat Kerajaan, di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian mengulas kenyataan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad yang mengumumkan hasrat kerajaan mengkaji semula dasar automotif nasional bagi memastikan industri itu kekal kompetitif.

Dr Mahathir dalam sesi soal jawab di Dewan Rakyat, hari ini, berkata, punca utama kegagalan industri automotif tempatan adalah dasar kerajaan yang terlalu terbuka dengan membenarkan kenderaan dari luar negara dibawa masuk tanpa sebarang sekatan atau syarat.

"Keadaan itu menyebabkan prestasi PROTON merosot kerana terpaksa bersaing dengan kereta import daripada syarikat gergasi," kata Perdana Menteri.

Dalam pada itu, Aishah juga berpendapat, sesebuah kereta dari mana-mana jenama dianggap sebagai kereta tempatan jika pemasangannya dilakukan di negara terbabit.

"Walaupun kita bercakap mengenai kereta asing, tetapi mereka sudah banyak melakukan pemasangan komponen tempatan. Honda sebagai contoh, komponen tempatannya adalah sebanyak 70 hingga 80 peratus dan mereka tidak boleh dianggap sebagai kereta luar negara apabila pemasangan komponen tempatannya tinggi, selain dipasang di negara ini.

"Kebanyakan jenama kereta asing mempunyai kilang di Malaysia dan menawarkan kira-kira 710,000 pekerja. Jadi apa yang diusahakan mereka adalah sama seperti PROTON dan PERODUA," katanya.

Aishah menambah, PROTON kini bukan lagi dimiliki oleh kerajaan membolehkannya menjadi medan persaingan yang setara dan semua pihak (pembuat kereta) sepatutnya memperoleh layanan yang sama.

Beliau berkata, projek kereta nasional setakat ini kurang memberangsangkan dan tidak membantu negara dalam mengeksport kenderaan itu ke bahagian pasaran lain di peringkat global.

"Sejak projek itu dilaksanakan, eksport  kereta kereta nasional hanya sekitar 20,000 hingga 30,000 unit setahun, berbanding Thailand dan Indonesia masing-masing mengeksport 1.3 juta unit dan lebih 100,000 unit kenderaan ke pasaran dunia, setahun," katanya.

Beliau berkata, sektor automotif menyumbang sebanyak RM6 bilion setahun dalam bentuk cukai kepada pendapatan kerajaan.

Berita Harian X