Khamis, 26 Julai 2018 | 5:16pm
DATUK Seri Dr Mohd Uzir Mahidin. - Foto NSTP

KDNK Malaysia cecah RM1.353 trilion

KUALA LUMPUR: Ekonomi Malaysia terus berkembang pada 2017 dengan nilai Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) pada harga semasa mencapai RM1.353 trilion, meningkat 9.9 peratus daripada RM1.231 trilion pada 2016.

Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata pengembangan KDNK diterajui itu oleh Lebihan Kendalian Kasar (LKK) yang merekodkan RM813.0 bilion (2016: RM732.6 bilion) manakala Pampasan Pekerja (PP) berjumlah RM475.7 bilion, peningkatan 9.6 peratus dari 2016.

Dalam kenyataan yang dikeluarkan Jabatan Perangkaan hari ini, beliau berkata cukai tolak subsidi ke atas pengeluaran dan import kukuh pada RM64.7 bilion (2016: RM64.4 bilion).

Sementara itu, LKK yang meningkat 11 peratus dari 2016. kekal sebagai penyumbang terbesar dalam komponen pendapatan dengan 60.0 peratus (2016: 59.5 peratus) manakala sumbangan PP kepada ekonomi Malaysia mencatatkan 35.2 peratus dan berkembang 9.6 peratus, yang sebahagian besar didorong sektor perkhidmatan dan pembuatan, katanya.

Beliau berkata, cukai tolak subsidi ke atas pengeluaran dan import dengan pertumbuhan marginal 0.5 peratus selepas mencatatkan 15.7 peratus pada 2016, menyumbang 4.8 peratus (2016: 5.2 peratus) kepada keseluruhan pendapatan.

Mohd Uzir berkata, bagi PP, perkhidmatan adalah penyumbang terbesar kepada jumlah keseluruhan PP Malaysia dengan menjana 60.0 peratus (2016: 60.7 peratus) manakala sumbangan pembuatan berkembang kepada 23.2 peratus berbanding 22.7 peratus pada 2016.

Beliau berkata, pembinaan menyumbang sebanyak 10.1 peratus, diikuti pertanian serta perlombongan dan pengkuarian yang masing-masing menyumbang 4.9 peratus dan 1.8 peratus.

Bagi LKK, perkhidmatan menyumbang 51.0 peratus kepada jumlah LKK pada 2017, diikuti pembuatan dengan sumbangan 22.4 peratus, perlombongan dan pengkuarian (13.8 peratus) serta pertanian (11.1 peratus), katanya.

Beliau berkata, sementara itu, pembinaan merekodkan sumbangan terendah sebanyak 1.7 peratus bagi LKK.

Menurut Mohd Uzir, LKK meningkat kepada 11.0 peratus, melepasi pertumbuhan ekonomi 9.9 peratus, disokong oleh perkembangan dalam kesemua sektor dengan perkhidmatan mengukuh kepada 8.7 peratus berbanding 6.3 peratus pada 2016 susulan pertumbuhan dua digit 10.2 peratus dalam perdagangan borong dan runcit; makanan dan minuman serta penginapan.

- BERNAMA

Berita Harian X