Khamis, 26 Julai 2018 | 1:12pm
YUSLI Mohamed Yusoff. - Foto Owee Ah Chun
YUSLI Mohamed Yusoff. - Foto Owee Ah Chun

Tadbir urus korporat di negara ini antara yang terbaik di Asia Tenggara

KUALA LUMPUR: Tadbir urus korporat di negara ini secara relatifnya lebih baik berbanding negara lain di rantau ini tetapi ia dicemari dengan berita negatif mengenai skandal 1Malaysia Development Bhd (1MDB).

Presiden Institut Tadbir Urus Korporat Malaysia (MICG), Datuk Yusli Mohamed Yusoff, berkata sejak beberapa tahun kebelakangan ini, berita mengenai 1MDB telah mencipta persepsi bahawa tadbir urus korporat di negara ini tidak bagus.

Katanya, kerajaan perlu segera memperbaiki salah tanggapan itu kerana tadbir urus korporat di negara ini terutamanya dalam sektor kewangan dan syarikat senaraian awam berada dalam standard yang sama atau lebih baik dari negara lain.

"Apabila pelabur membuat pertimbangan untuk melabur di negara ini, mereka juga akan meneliti aspek standard tadbir urus awam bagi memberikan keyakinan kepada orang ramai.

"Justeru, kami berharap kerajaan boleh memulihkan semula persepsi negatif yang diterima negara ini dalam tempoh beberapa tahun kebelakangan," katanya pada sidang media selepas majlis pemeteraian perjanjian kerjasama pelancaran program 'Pathway to A Governance Practitioner' di sini, hari ini.

Program berkenaan dijalankan dengan kerjasama The Iclif Leadership and Governance Centre (Iclif) dan Trident Integrity Solutions Sdn Bhd (Trident). Ia dirasmikan oleh Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Ir Amiruddin Hamzah.

Mengulas lanjut, Yusli berkata pihaknya juga sedia menyokong dan membantu usaha kerajaan dalam memulihkan persepsi berhubung tadbir urus korporat di negara ini.

"Antara perkara pertama yang perlu kerajaan lakukan adalah dengan meletakkan individu yang benar-benar layak terutamanya dalam syarikat sektor awam.

"Pelantikan seseorang individu untuk menjawat jawatan profesional perlu dilakukan berdasarkan merit dan bukan disebabkan oleh faktor rakan dan keluarga," katanya.

Sementara itu, MICG menyasarkan antara 20 hingga 25 orang profesional tadbir urus untuk menyertai program yang direka untuk melatih mereka dalam bidang korporat bagi setiap kelas.

Terdapat tujuh modul yang ditawarkan dalam program berkenaan merangkumi Etika dan Tadbir Urus, Asas dalam Integriti Perniagaan, Kelayakan Undang-undang Tadbir Urus Korporat, Penilaian Risiko Rasuah dan Pengurusan Risiko.

I

Berita Harian X