Khamis, 19 Julai 2018 | 1:55pm
TIMBALAN Ketua Pegawai Eksekutif Kedua MIDA, Arham Abdul Rahman (dua dari kiri) bertukar dokumen dengan Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Siemens Malaysia, Indranil Lahiri (dua dari kanan) pada majlis menandatangani memorandum perjanjian persefahaman (MoU) antara Siemens Malaysia dan MIDA di Kuala Lumpur, hari ini. - Foto Salhani Ibrahim
TIMBALAN Ketua Pegawai Eksekutif Kedua MIDA, Arham Abdul Rahman (dua dari kiri) bertukar dokumen dengan Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Siemens Malaysia, Indranil Lahiri (dua dari kanan) pada majlis menandatangani memorandum perjanjian persefahaman (MoU) antara Siemens Malaysia dan MIDA di Kuala Lumpur, hari ini. - Foto Salhani Ibrahim

Siemens, MIDA jalin kerjasama pendigitalan industri F&B

KUALA LUMPUR: Siemens Malaysia menjalin kerjasama dengan Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) untuk menambah baik kapasiti dan persaingan industri makanan dan minuman (F&B) negara menerusi pendigitalan serta penggunaan teknologi.

Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Kedua MIDA, Arham Abdul Rahman, berkata usaha itu adalah selari dengan perkembangan industri F&B yang kian mencatatkan pertumbuhan dalam tempoh beberapa tahun lalu menerusi penggunaan teknologi.

Katanya, kemajuan dalam teknologi pemprosesan menyebabkan penambahan penggunaan bahan mentah tempatan, meluaskan rangkaian produk dan meningkatkan kapasiti pelaburan dalam industri F&B.

"Sehingga Mac 2018, MIDA meluluskan 2,153 projek pembuatan F&B dengan jumlah pelaburan sebanyak RM51.2 bilion. Pelaburan ini menghasilkan sebanyak 176,000 peluang pekerjaan.

"Berdasarkan Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM), terdapat 8,000 penubuhan pembuatan makanan dan 80 peratus daripadanya terdiri daripada perusahaan kecil dan sederhana (PKS)," katanya pada majlis menandatangani memorandum perjanjian persefahaman (MoU) antara Siemens Malaysia dan MIDA di sini, hari ini.

Beliau berkata, walaupun industri pembuatan makanan kian berkembang, ia hanya menyumbang 10 peratus daripada output pembuatan.

"Namun, masa depan F&B dijangka terus mengukuh berikutan penambahan populasi dunia yang dijangka mencecah 9.7 bilion menjelang 2050.

"Justeru, permintaan terhadap makanan dijangka akan meningkat 59 peratus hingga 98 peratus," katanya

Sementara itu, Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Siemens Malaysia, Indranil Lahiri, berkata menerusi kerjasama itu, pihaknya akan mampu menyokong pelanggannya dalam sektor F&B di Malaysia untuk beralih ke arah pendigitalan dan membawa nilai ke bahagian proses rangkaian bekalan.

"Menerusi pendigitalan, pekilang boleh menepati penanda aras global produktiviti dan kekal konsisten. Malaysia bakal menjadi hab eksport untuk pengeluaran besar-besaran.

"Syarikat asing yang ingin mewujudkan hab ekpsort mereka di negara ini akan tertarik kepada ekosistem yang mempunyai infrastruktur lebih teratur yang mana kos pengeluaran boleh dikurangkan dan disamping meningkatkan produktiviti.

"Ini hanya boleh dicapai menerusi pendigitalan dan pembuatan pintar," katanya.

Berita Harian X