Rabu, 18 Julai 2018 | 11:49am
AISHAH Ahmad. - Foto Muhammad Sulaiman
AISHAH Ahmad. - Foto Muhammad Sulaiman

Jualan kenderaan baharu melonjak

PETALING JAYA: Jumlah jualan kenderaan baharu dalam tempoh enam bulan tahun ini meningkat 1.8 peratus kepada 289,714 unit berbanding 284,453 unit yang dicatatkan tempoh sama 2017.

Peningkatan itu disumbangkan segmen kenderaan penumpang yang meningkat 2.1 peratus kepada 261,043 unit, sementara segmen kenderaan komersil mencatatkan penurunan 0.1 peratus kepada 28,671 unit, demikian mengikut perangkaan terkini Persatuan Automotif Malaysia (MAA).

Jumlah jualan pada Jun 2018 adalah yang tertinggi dalam tempoh dikaji sebanyak 64,502 unit, meningkat 50.1 peratus berbanding 42,983 unit pada Mei 2018.

"Peningkatan dalam jumlah jualan pada Jun 2018 adalah berikutan permintaan tinggi terhadap kenderaan susulan pengurangan dalam harga kereta dan promosi Hari Raya menarik ditawarkan anggota MAA," kata Presiden MAA, Datuk Aishah Ahmad.

Beliau berkata demikian pada sidang media mengumumkan prestasi jualan kenderaan bagi separuh pertama 2018, di sini, hari ini.

Aishah berkata, dalam tempoh enam bulan 2018, jualan keseluruhan industri (TIV) adalah berjumlah 289,714 unit, yang mewakili 49.1 peratus unjuran asal MAA sebanyak 590,000 bagi tahun ini.

Beliau berkata, berikutan faktor luaran dan dalaman yang tidak menentu, MAA membuat semakan semula unjuran TIV bagi 2018 kepada 585,000 unit.

Berita Harian X