Jumaat, 13 Julai 2018 | 4:07pm
Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif MIDA, Datuk N. Rajendran (dua dari kanan) dengan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan MAHB, Raja Azmi Raja Nazuddin (tengah) semasa Majlis Menandatangani Mou antara Mida dan MAHB di Ibu Pejabat Mida di Kuala Lumpur. - Foto Muhd Zaaba Zakeria
Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif MIDA, Datuk N. Rajendran (dua dari kanan) dengan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan MAHB, Raja Azmi Raja Nazuddin (tengah) semasa Majlis Menandatangani Mou antara Mida dan MAHB di Ibu Pejabat Mida di Kuala Lumpur. - Foto Muhd Zaaba Zakeria

Industri Aeroangkasa negara diunjur lebih RM50 bilion menjelang 2030

KUALA LUMPUR: Industri aeroangkasa Malaysia terus mendapat kepercayaan tinggi dalam kalangan peserta industri tempatan dan global, sekali gus berada di landasan untuk mencapai sasaran pertumbuhan pendapatan industri berjumlah lebih RM50 bilion menjelang 2030.

Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA), Datuk N Rajendran, berkata ketika ini, Malaysia mempunyai lebih 200 syarikat yang terbabit dalam aktiviti penyenggaraan, pembaikan dan baik pulih (MRO), pembuatan aero, pendidikan dan latihan, sistem dan integrasi serta kejuruteraan dan reka bentuk.

"Bagi tempoh tiga bulan pertama 2018, industri berkenaan mencatatkan kelulusan pelaburan berjumlah RM175.4 juta daripada empat projek pembuatan dan RM8.59 juta daripada satu projek MRO," katanya pada majlis menandatangani memorandum persefahaman (MoU) antara MIDA dan Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB), di sini, hari ini.

Kerjasama itu adalah bagi menarik pelaburan langsung asing (FDI) ke Malaysia menerusi tumpuan pembangunan KLIA Aeropolis iaitu pembangunan bandar raya utama berkeluasan 100 kilometer persegi dan pembangunan Taman Aerotech Subang

Hadir sama, Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan MAHB, Raja Azmi Raja Nazuddin.

Rajendran berkata, keseluruhan industri di peringkat global mengunjurkan pengeluaran pesawat dijangka sebanyak 41,030 unit dengan nilai sebanyak AS$6.1 trilion (RM24.64 trilion) pada 20 tahun akan datang.

"Manakala di Malaysia, industri aeroangkasa diunjur menyumbang pendapatan RM20.4 bilion bagi MRO, RM21.2 bilion bagi pembuatan aeroangkasa dan RM13.6 bilion bagi perkhidmatan kejuruteraan dan perkhidmatan menjelang 2030," katanya.

Sementara itu, mengulas mengenai MoU itu, beliau berkata, MIDA akan bekerjasama dengan entiti seperti MAHB untuk menarik lebih banyak pelaburan berpotensi yang bukan sahaja akan menggalakkan ekosistem tetapi memastikan penyediaan kemudahan serta infrastruktur.

"Usaha seumpama ini akan terus memberi persekitaran kondusif bagi perniagaan untuk memajukan pembangunan perindustrian," katanya.

Bagi suku pertama tahun ini, MIDA merekodkan kelulusan pelaburan dalam sektor pembuatan berjumlah RM12.5 bilion daripada 137 projek pembuatan berbanding RM6.6 bilion daripada 144 projek bagi tempoh sama tahun lalu.

Dalam tempoh sama, kelulusan pelaburan luar negara bagi sektor berkenaan merekodkan RM10 bilion berbanding RM4.2 bilion bagi tempoh sama, tahun lalu.

Berita Harian X