Rabu, 11 Julai 2018 | 1:43pm
PENGURUS Besar Negara UBM Malaysia, Alun Jones pada sidang media mengenai ASEAN M&E di Kuala Lumpur, hari ini. - Foto Zunnur Al Shafiq

460 pempamer sertai ASEAN M&E

KUALA LUMPUR: Pameran mekanikal, elektrikal dan kejuruteraan terbesar rantau ini, ASEAN M&E yang akan berlangsung pada 17 hingga 19 Julai bakal disertai 460 syarikat pempamer dengan sasaran 15,000 pengunjung.

ASEAN M&E anjuran UBM Malaysia bertempat di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur itu, bakal membabitkan beberapa pemain industri kuasa; tenaga; pemanasan, pengudaraan dan penghawa dingin (HVAC); serta lif.

Pengurus Besar Negara UBM Malaysia, Alun Jones, berkata acara terbesar ASEAN itu akan diadakan serentak dengan beberapa acara lain Pameran Penyejukan, Pengudaraan dan Pengeringan Premier Asia Tenggara (REVAC); Ekspo dan Forum Industri Elektrikal dan Kuasa Premier Asia Tenggara (TENAGA); Ekspo dan Forum Tenaga Hijau Premier (GREEN ENERGY); Ekspo dan Forum Tenaga Solar Premier Asia Tenggara (ASEAN SOLAR); serta Ekspo dan Forum Teknologi Lif dan Eskalator Premier Asia Tenggara (ASEAN LIFT).

"Tahun ini menyaksikan keluasan tapak pameran meningkat 15 peratus dan jumlah peserta pula menokok 38 peratus berbanding tahun 2016," katanya pada sidang media mengenai ASEAN M&E di sini, hari ini.

Jones berkata, ASEAN M&E berkembang pesat dan menjadi acara berprestij di Malaysia dan rantau ini.

"Dengan perkembangan industri yang positif, ia mewujudkan peluang serta menarik perhatian syarikat di rantau ini menyertai ASEAN M&E," katanya.

Kejayaan ASEAN M&E untuk menempa nama sebagai acara terbesar turut mendapat kerjasama dan perkongsian dengan beberapa pemain industri dan pihak berkepentingan utama seperti Institusi Kejuruteraan Malaysia (IEM), Persatuan Jurutera Pemanasan, Penyejukan dan Penyamanan Udara Amerika (ASHRAE) dan Persidangan Antarabangsa Wanita dalam Sains, Kejuruteraan dan Teknologi (WiSET).

"Acara ASEAN M&E akan diiringi oleh 40 seminar percuma oleh pakar industri, selain persidangan serta forum yang diadakan serentak dengan WiSET, IEM, ASHRAE dan Pameran dan Persidangan Antarabangsa Persekutuan Akses Kuasa Asia (IPAF)," jelas Jones.

ASEAN M&E akan disertai pempamer utama termasuk Universal Cable (M) Sdn Bhd; Alpha Automation (SEL) Sdn Bhd; Daikin Malaysia Sales & Service Sdn Bhd; dan Glarie Elevator.

Berita Harian X