Khamis, 5 Julai 2018 | 6:31pm
MENTERI Dalam Negeri Tan Sri Muhyiddin Yassin menyampaikan cek Tabung Harapan Malaysia bernilai RM1 Juta sumbangan dari Datasonic Group Berhad kepada Menteri Kewangan Lim Guan Eng pada Majlis Rumah Terbuka Kementerian Dalam Negeri (KDN) hari ini. Turut hadir Timbalan Menteri KDN Datuk Azis Jamman (kiri). - Foto BERNAMA
MENTERI Dalam Negeri Tan Sri Muhyiddin Yassin menyampaikan cek Tabung Harapan Malaysia bernilai RM1 Juta sumbangan dari Datasonic Group Berhad kepada Menteri Kewangan Lim Guan Eng pada Majlis Rumah Terbuka Kementerian Dalam Negeri (KDN) hari ini. Turut hadir Timbalan Menteri KDN Datuk Azis Jamman (kiri). - Foto BERNAMA

Kementerian Kewangan gantung kerja SSER, ECRL

KUALA LUMPUR: Kerajaan menerusi Kementerian Kewangan menggantung kerja dan perkhidmatan Projek Suria Synergy Energy Resources Sdn Bhd (SSER), yang diberi mandat melaksanakan projek Multi-Product Pipeline (MPP) dan Trans-Sabah Gas Pipeline (TSGP) bernilai RM9.4 bilion.

Menteri Kewangan, Lim Guan Eng, berkata kontrak bagi projek MPP dan TSGP dianugerahkan kepada China Petroleum Pipeline Bureau (CPPB) pada 1 November 2016.

"SSER telah membuat bayaran sebanyak RM8.3 bilion ataupun 88 peratus daripada kos pembinaan RM9.4 bilion, sungguhpun kemajuan kerja (yang belum diaudit) dianggarkan pada tahap 13 peratus.

"Kontrak-kontrak SSER bernilai RM9.4 bilion ini belum lagi mengambil kira kos perjanjian pengambilalihan tanah, dua perjanjian perundingan pakar, dan satu perjanjian penyelenggaraan yang bernilai RM1.7 bilion," katanya dalam satu kenyataan.

Sementara itu, Guan Eng berkata, projek Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) adalah projek landasan kereta api dari Pelabuhan Klang dan tamat di Pengkalan Kubor, Kelantan.

Projek ini, katanya telah mendapat kelulusan Jemaah Menteri pada 2016 dan 2017, di mana China Communications Construction Company (CCCC) dilantik sebagai kontraktor utama.

"Kos keseluruhan sebenar projek ECRL dijangkakan mencecah RM81 bilion, termasuk kos pengambilalihan tanah dan faedah pinjaman semasa pembinaan projek.

"Perdana Menteri, selepas mendapat pandangan Jabatan Peguam Negara, telah mengarahkan Kementerian Kewangan melalui Menteri Kewangan Diperbadankan (MKD), untuk mengeluarkan "Notis/Arahan Penggantungan Kerja dan Perkhidmatan" semua kontrak berkaitan dengan MPP, TSGP, ECRL kepada pihak-pihak kontraktor pada 3 Julai 2018.

"Notis penggantungan ini berkuatkuasa serta-merta sehingga notis selanjutnya dikeluarkan oleh Kementerian Kewangan," katanya.

Bagaimanapun, beliau menegaskan tindakan yang diambil adalah semata-mata ke atas syarikat yang berkaitan dengan peruntukan dalam surat perjanjian dan tidak ada kena-mengena dengan mana-mana negara.

Berita Harian X