Isnin, 18 Jun 2018 | 1:37pm

Malaysia jadi tuan rumah CEPSI 2018

KUALA LUMPUR: Malaysia akan menjadi tuan rumah edisi ke-22 Persidangan Industri Bekalan Tenaga Elektrik 2018 (CEPSI 2018) dan bertema, "Membayangkan Semula Utiliti Masa Depan", selama enam hari mulai 17 September 2018.

CEPSI tahunan itu dihoskan negara di sekitar rantau Asia Timur dan Pasifik Barat.

"Dibawa kepada anda oleh Persatuan Industri Bekalan Elektrik Asia Timur dan Pasifik Barat (AESIEAP) dan Tenaga Nasional Bhd (TNB), CEPSI 2018 adalah platform yang kukuh untuk pemain tenaga membincangkan masa depan tenaga dunia kita," kata Energy Watch di laman webnya, http://www.energywatch.com.my.

Persidangan itu dijangka menerokai beberapa topik semasa di bawah kategori yang menjadi tajuk utama sepanjang tahun lalu, di antaranya adalah kelestarian dan tenaga hijau, alternatif penjanaan dan masa depan, penghantaran dan grid masa depan serta grid pintar dan teknologi baharu.

Empat penceramah utama ialah Pengarah Urusan Global, Industri Tenaga, Alam Sekitar & Utiliti IBM, Brad Gammons; Rakan Kongsi Kanan, McKinsey & Company, Dr Jonathan Woetzel; Pengurus Wilayah, Pembangunan Perniagaan, Tesla Energy Asia Pasifik, Lara Olsen; dan Naib Presiden Kanan Kumpulan, Bahagian Grid Kuasa ABB, Asia Selatan, Timur Tengah & Afrika, Venu Nuguri.

Gammons, Woetzel, Olsen dan Nuguri akan disertai oleh penceramah terkenal lain untuk memberi peluang yang unik kepada peserta untuk mendengar daripada pakar terkemuka di dunia terbabit.

Peserta CEPSI 2018 yang berprestij di peringkat antarabangsa itu juga akan mendapat peluang untuk bertemu, membabitkan diri, berkongsi pengalaman dan memperoleh idea-idea baru dengan penggubal dasar, pemimpin industri dan pemikir berpengaruh dalam industri bekalan elektrik.

Lebih 1,500 perwakilan, yang terdiri daripada pemimpin industri, eksekutif kanan, pegawai kerajaan dan pakar profesional dari seluruh dunia juga dijangka hadir.

-BERNAMA

Berita Harian X