Jumaat, 8 Jun 2018 | 3:19pm

Arahan baharu GST sifar belum jelas

KUALA LUMPUR: Ramai peruncit, ejen dan pengusaha perkhidmatan masih cuba memahami serta menyesuaikan operasi mereka dengan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) berkadar sifar peratus bermula 1 Jun lalu.

Ada yang enggan melaraskan model penetapan harga mereka sewajarnya memandangkan tempoh tanpa cukai hanya untuk tiga bulan sahaja sebelum pelaksanaan Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) pada September.

Ketika perniagaan runcit menikmati tempoh tanpa cukai itu, ada pihak mendakwa tidak mendapat arahan​​​​​​​ yang jelas mengenai tindakan yang perlu diambil seterusnya.

Ketika dihubungi Bernama, beberapa ejen insurans berkata mereka masih belum jelas mengenai sama ada perlu mengekalkan kadar sumbangan semasa atau mengurangkan jumlah itu sejajar dengan GST sifar.

"Kami masih menunggu arahan yang jelas," kata seorang ejen insurans ketika ditanya mengapa jumlah yang dikenakan pada Jun adalah sama dengan jumlah bulan sebelumnya.

Terdahulu, Persatuan Insurans Am Malaysia, Persatuan Insurans Hayat Malaysia dan Persatuan​​​​​​​ Takaful Malaysia mengumumkan bahawa syarikat insurans hayat dan am serta pengusaha takaful akan​​​​​​​ mengenakan GST berkadar sifar peratus berkuat kuasa 1 Jun.

"Orang ramai dinasihatkan menghubungi syarikat insurans dan takaful masing-masing untuk mendapatkan penjelasan mengenai GST bagi mana-mana produk insurans dan takaful yang dibeli atau perkhidmatan diberikan," kata persatuan itu.

Sementara itu, tinjauan Bernama mendapati harga makanan masih sama, manakala banyak restoran dan hotel menawarkan bufet Ramadan pada harga yang sama dengan harga sebelum GST sifar.

Pengusaha restoran mengatakan bahawa harga bahan mentah masih tinggi sementara hotel pula​​​​​​​ mendakwa harga yang mereka tawarkan adalah tidak termasuk GST.

Situasi itu berbeza dalam kalangan peruncit barang bukan makanan, bagaimanapun kebanyakan peruncit, daripada barang kemas hingga kedai perabot memanfaatkan GST sifar untuk mengadakan promosi jualan dengan tawaran potongan sehingga 80 peratus termasuk melalui platform media sosial.

Seorang promoter jualan di Kedai Perabot dan Elektronik Quan di Subang Jaya berkata rakyat Malaysia mengambil peluang tempoh tanpa cukai untuk membeli-belah susulan harga yang ditawarkan jauh lebih murah.

"Sebagai contoh, harga bagi set tilam bersaiz "queen" lengkap jatuh daripada RM1,999 kepada RM1,099, manakala harga peralatan elektrik juga susut sebanyak RM10 hingga RM100, bergantung kepada barang," katanya.

Pelanggan, Siti Nor Aini Hamidon, 32, berkata keluarganya memperuntukkan RM5,000 bagi perbelanjaan​​​​​​​ Aidilfitri kali ini.

"Barang agak murah tahun ini, ditambah dengan promosi melalui dalam talian dan kedai fizikal, ramai yang menikmati nilai wang mereka," katanya.

-BERNAMA

Kabinet Malaysia 2020

Berita Harian X